Kisar padi di Kampung Kiudang

Kisar padi di Kampung Kiudang

Oleh  Norizan Murshid

 

TUTONG – Nasi Katok  sudah tidak asing lagi buat penduduk dan rakyat di Negara Brunei Darussalam. Nasi katok yang kandungan asasnya nasi putih dengan sepotong ayam goreng dan sambal juga tidak asing bagi anak-anak  cucu kitani.

Pun begitu, proses daripada biji padi untuk dijadikan beras dengan menggunakan mesin “kisar padi” rasanya tidak ramai anak muda yang ambil peduli, sedangkan ianya jika dijalankan dengan serius boleh menjana pendapatan dan menjadi satu kerjaya.

Inilah yang telah dibuktikan oleh seorang pesara guru, Awang Tiga bin Anam,63 dari Kampung Kiudang, Tutong. Dengan dibantu oleh seorang pekerja Awang Solikin bin Darmen, 36, Awang Tiga membeli mesin kisar pagi dari negara jiran dan memulakan usaha kecil-kecilan mengisar padi.

“Mesin kisar padi ini saya beli dari negara jiran dengan harga  RM 11,000 dan dalam masa yang sama saya turut mempelajari cara menggunakan mesin kisar ini.

Dengan dibantu oleh seorang pekerja saya, kini sambutan yang diterima tidak hanya di kalangan penduduk sekitar Tutong, malah ada yang datang dari Kuala Belait untuk mengisar padi di tempat saya ini,” kata Awang Tiga kepada penulis. “Pada awalnya saya juga mengisar padi di Limau Manis dan di tempat lain, namun bila sudah hasil tanaman padi yang saya usahkan sendiri menampak hasil yang baik, maka saya mengambil keputusan untuk memiliki mesin padi saya sendiri,” tambahnya lagi.

Di tanya berhubung kadar bayaran yang dikenakan, Awang Tiga berkata ianya tertakluk pada hasil beras yang telah dikisar, biasanya disukat dalam bekas khas dan kadar bayar untuk satu sukatan ialah B$3 .

Menurut  Awang Tiga, mesin yang beliau gunakan ini dapat menghasilkan biji beras yang baik dan tidak pecah. Itu juga adalah salah satu sebab kenapa ramai pelanggan beliau kembali lagi mengisar padi di tempatnya kerana mereka berpuas hati dengan mutu beras yang dihasilkan.

Sementara itu, Awang Solikin yang berpengalaman menyelia dan membaiki mesin kisar padi memberitahu, dalam tempuh setahun, pulangan modal membeli mesin sudah boleh diperoleh.

Justeru, beliau berpendapat usahawan tempatan perlu berani untuk melabur dan memulakan perniagaan mengisar padi agar dengan ini akan dapat menyediakan ruang dan peluang pekerjaan kepada ramai anak-anak muda tempatan yang masih menganggur.

Di samping mengusahakan kisar padi, Awang Tiga juga baru berjinak jinak mengusahakan ternakan madu kelulut di kawasan rumahnya.

Mungkin juga kisar padi Awang Tiga ini boleh dijadikan satu lokasi lawatan murid-murid sekolah bagi memberikan pendidikan dan pendedahan bagaimana biji padi diproses untuk dijadikan beras. Kepada orang ramai yang berhajat untuk mengisar padi, beliau boleh dikunjungi di alamat Simpang 68, Kampung Kiudang. Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA