KiTA, Jabatan Hidupan Liar Sabah meterai MoU

KiTA, Jabatan Hidupan Liar Sabah meterai MoU

KINABATANGAN, 3 Dis (Bernama) – Perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kinabatangan (KiTA) menjadi landasan penting bagi mengekalkan khazanah alam semula jadi dan hidupan liar di sepanjang sungai Kinabatangan.

Menerusi MoU itu, seramai 30 orang menerima pengiktirafan dan dilantik sebagai Warden Kehormat Hidupan Liar dan 23 lagi sebagai Pemandu Hidupan Liar. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Kamarlin Ombi menyaksikan majlis menandatangani MoU itu membabitkan KiTA yang diwakili presidennya Alexander Yee, manakala Jabatan Hidupan Liar Sabah diwakili pengarahnya William Baya, di Sukau hari ini.

Dalam ucapannya, Kamarlin menyifatkan perjanjian persefahaman ini adalah usaha yang perlu disokong semua pihak untuk melindungi sungai Kinabatangan.

Katanya melalui perjanjian itu membolehkan lebih banyak usaha perlindungan terhadap kekayaan sumber alam semula jadi di daerah ini khususnya dalam kawasan Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.