Kita puasa esok

Kita puasa esok

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam akan menunaikan ibadah puasa pada Selasa, 7 Jun ini.

Pengumuman penglihatan anak bulan Ramadan disiarkan menerusi Radio dan Televisyen Brunei oleh Ketua Hakim Syari’e, Pengiran Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Upacara melihat anak bulan Ramadan 1437 Hijrah dijalankan oleh hakim-hakim Syar’ie, dan pegawai-pegawai Jabatan Kehakiman Negara, pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan di beberapa buah tempat yang ditentukan petang ini, namun anak bulan Ramadan 1437 Hijrah tidak kelihatan.

Maka berdasarkan hukum syarak disebabkan anak bulan Ramadan 1437 Hijrah telah tidak sabit dilihat, bulan Syaaban 1437 Hijrah wajib digenapkan 30 hari.

Dato Paduka Haji Suhaimi ketika upacara meneropong anak bulan Ramadan di Menara DST, Lebuh raya Tungku.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika upacara meneropong anak bulan Ramadan di Menara DST, Lebuh raya Tungku.

Antara tempat-tempat melihat anak bulan Ramadan ialah Menara DST, Lebuh raya Tungku, Bukit Agok di Jerudong bagi Daerah Brunei dan Muara manakala di Daerah Belait pula diadakan di Bukit Lumut dan bagi Daerah Tutong pula diadakan di Bukit Ambok.

Hadir menyaksikan upacara melihat anak bulan Ramadan di Menara DST, malam ini ialah Pemangku Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian tersebut dan kementerian yang lainnya.

Sehubungan itu umat Islam di negara ini akan mula mengerjakan ibadah puasa pada hari berkenaan dan solat sunat tarawih diikuti dengan solat witir serta bertadarus di masjid-masjid akan bermula pada malam esok.

Sementara waktu bekerja bagi pegawai dan kakitangan Kerajaan sepanjang bulan Ramadan akan bermula dari pukul 8 pagi hingga 2 petang manakala bagi pegawai dan kakitangan yang bergaji hari pula dikurangkan sejam dari waktu bekerja biasa.

Restoran-restoran di negara ini pula dibukakan hanya untuk tempahan bawa balik sahaja dan tidak dibenarkan untuk dibukakan kepada pelanggan yang berhasrat untuk makan di restoran berkenaan pada siang hari di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan pada Mei 2016 di bawah Bab 195, Kanun Undang-undang Perintah Syariah.

 

ARTIKEL YANG SAMA