KITM umum peningkatan kadar dividen

KITM umum peningkatan kadar dividen

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Koperasi Ikatan Teluk Mewah (KITM), hari ini, mengumumkan perolehan kadar dividen yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya berdasarkan penyata kewangan yang berakhir pada Disember 2014.

Ketika mengumumkan pencapaian itu di hadapan 51 pemegang saham pada Mesyuarat Agung KITM ke-7 bagi 2014, di Bilik Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas, Pengerusi KITM Berhad, Haji Mohamed bin Haji Matussin berkata, kejayaan koperasi itu mencatat pulangan memberangsangkan adalah atas kewibawaan hampir kesemua pentadbir amanah saham KITM terdiri warga emas mantan pegawai dan kakitangan sektor awam daripada berlainan jurusan dan pengalaman.

“Namun, kita masih memerlukan inovasi supaya sesuai dengan iklim perniagaan masa kini, tidak hanya pada undang-undang yang mengawal selia, tetapi hendaklah meliputi organisasi, birokrasi perlu, dasar, strategi, permodalan,” katanya.

Dewasa ini, katanya, ekonomi negara ini terbuka kepada persaingan pelbagai bentuk perniagaan dari dalam dan luar negara yang mana peniaga-peniaga asing yang memiliki rangkaian mantap dengan rakan niaga sebangsa mereka telah memberikan saingan hebat sehingga menjejaskan peniaga-peniaga tempatan.

Sebaliknya pula, para peniaga tempatan masih berpotensi untuk memperluas lagi aspek kerjasama sesama mereka mempelbagaikan bidang perniagaan serta mengembangkannya.

Haji Mohamed ketika berucap pada mesyuarat agung KITM Berhad, kelmarin.
Haji Mohamed ketika berucap pada mesyuarat agung KITM Berhad, kelmarin.

pg07_150602_b

Beliau menegaskan, walaupun baru sembilan tahun KITM menguruskan amanah saham ahlinya selaku saudagar pengantara, koperasi tersebut telah mampu meraih beberapa pencapaian.

Antara pencapaian itu termasuk menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat, penduduk tetap dan warga negara jiran, mengekalkan jumlah jualan bahan bakar, pendapatan serta mengekalkan prestasi pengagihan dividen daripada perniagaan yang tidak pernah merudum.

Kejayaan paling menyerlah koperasi itu ialah kemampuannya menjelaskan pembayaran sejumlah $1,4 juta secara tunai bagi memperoleh tanah pajakan untuk tempoh 60 tahun tanpa perlu lagi membayar sewa kepada pemilik tanah terbabit.

Sejajar dengan wawasannya untuk mengembangkan perniagaan dan keluar daripada kepompong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), KITM telah berusaha mempelbagaikan perniagaannya.

Inisiatif terbaru koperasi adalah menyuarakan hasratnya kepada pengarah urusan syarikat pembekal minyak dan gas terunggul negara ini untuk memperdagangkan bukan hanya bahan bakar dan produk penjana kuasa kenderaan serta jentera, tetapi juga penjualan gas domestik serta aksesori berkaitannya.

Malah, menurutnya lagi, awal daripada itu, KITM juga menghubungi pihak berkuasa bagi pembekalan tenaga elektrik dan mengutarakan permohonan supaya dilantik sebagai ejen menjual kupon elektrik menggunakan mesin deposit tunai (CDM) untuk kemudahan masyarakat umum.

KITM Berhad yang memasuki tahun kesembilan penubuhannya kini mempunyai seramai 525 pemegang saham yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap negara ini, dengan 60 daripada mereka merupakan pemegang saham bernilai $10,000 atau lebih.

ARTIKEL YANG SAMA