Kiudang Mungkom FC menang 3-2

Kiudang Mungkom FC menang 3-2

TUTONG, 15 Feb – Jaringan Razamie empat minit sebelum perlawanan masa sebenar tamat memberikan kemenangan 3-2 Kiudang Mungkom FC ke atas MPK Bukit Panggal sekali gus menghadiahkannya tiga mata berharga dalam saingan Kumpulan A, Liga Persatuan Bolasepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) DST 2015.

Kiudang Mungkom FC selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Abang Nurhelmi pada minit ke-22 disusuli dengan jaringan Mohd Bazli pada minit ke-41.

Separuh masa kedua perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu kemudiannya menyaksikan perubahan angin perlawanan dengan MPK Bukit Panggal pula berjaya membolosi Kiudang Mungkom FC dua kali.

Gol pertama MPK Bukit Panggal untuk kedudukan berubah menjadi 1-2 terhasil pada minit ke-61 disumbangkan oleh Muhd Faiz, manakala jaringan penyamaan, 2-2, dihasilkan oleh Asnawi pada minit ke-74.

Liga TDAFA DST 2015 disertai 15 buah pasukan yang telah dibahagikan kepada dua buah kumpulan, dengan Kumpulan A mengandungi lapan buah pasukan dan Kumpulan B dibarisi tujuh buah pasukan.

Kiudang Mungkom FC menang 3-2 ke atas MPK Bukit Panggal dalam Kumpulan A Liga TDAFA DST 2015.
Kiudang Mungkom FC menang 3-2 ke atas MPK Bukit Panggal dalam Kumpulan A Liga TDAFA DST 2015.

Pasukan-pasukan yang bersaing dalam Kumpulan A ialah Belabau FFT, Kiudang Mungkom FC, MPK Bukit Panggal, Bang Dalam FC, Kilugus FC, Perda FC, Sinar FC dan Bamit FC.

Manakala tujuh buah pasukan yang bersaing dalam Kumpulan B ialah Tutong Hotspurs FT, Kebia FC, MPK Bendanu FC, PMS, Kamai Kiudang FC, 3PML dan Azmainshah.

Liga TDAFA DST 2015 akan diteruskan dengan dua perlawanan dalam Kumpulan B iaitu Kamai Kiudang FC lawan Kebia FC pada pukul 4:00 petang 19 Februari ini di Kompleks Sukan Tutong disusuli dengan PMS lawan 3 PML pada pukul 4:00 petang 28 Februari di tempat yang sama. – Hasrulraizan