KJ FC juarai Futsal BTC

KJ FC juarai Futsal BTC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – KJ FC menang 5-4 ke atas Ultraman Zero di perlawanan akhir untuk meraih gelaran juara Kejohanan Futsal BTC Redstar Edisi Pertama 2016.

Perlawanan akhir di Dewan Hangar, Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing hebat sehingga terikat 2-2 dalam masa sebenar, menyebabkan perlawanan diheret ke sepakan penalti penentuan yang dimenangi KJ FC dengan jaringan 3-2.

Tempat ketiga bersama pula dimenangi kedua-dua buah pasukan yang tewas di separuh akhir iaitu Brunei88 yang dikalahkan Ultraman Zero 2-1 dan UA FT yang kalah di tangan KJ FC.

Pada perlawanan peringkat suku akhir, Ultraman Zero berjaya menewaskan Fido Dido dari Miri, Sarawak dengan keputusan 2-0, selepas turut menang dengan jumlah jaringan yang sama di pusingan kedua ke atas Qahar FT.

Sementara KJ FC menghentikan perjalanan First 5 selepas membelasahnya 4-0 untuk mara ke separuh akhir, dan sebelum itu KJ FC turut mencatat kemenangan 4-0 di pusingan kedua iaitu keatas Muhais.

Juara Kejohanan Futsal BTC Redstar Edisi Pertama 2016, KJ FC.
Juara Kejohanan Futsal BTC Redstar Edisi Pertama 2016, KJ FC.

Sebagai juara, KJ FC membawa pulang hadiah wang tunai $500, 10 pasang jersi bola sepak dan sebiji bola futsal, manakala Ultraman Zero selaku naib juara menerima hadiah wang tunai $300 bersama 10 pasang jersi bola sepak dan sebiji bola.

Pemenang tempat ketiga bersama pula iaitu Brunei88 dengan UA FT masing-masing telah mendapat hadiah wang tunai $100, 10 pasang jersi bola sepak dan sebiji bola.

Sejumlah 32 buah pasukan telah menyertai kejohanan berkenaan yang telah dibahagikan kepada lapan buah kumpulan. Hanya dua buah pasukan teratas setiap kumpulan mara ke pusingan kedua.