KJ hampiri gelaran BFL

KJ hampiri gelaran BFL

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Kemenangan 4-2 ke atas pesaing kuat, PBDB FT malam tadi mendekatkan Kota Junior (KJ) kepada gelaran juara pertama Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 ketika liga futsal kebangsaan itu kini memasuki Minggu Kesembilan dari sebelas keseluruhan.

Ketua pasukan Kota Junior, Faizul Jefry memimpin kemenangan pasukannya dengan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga untuk pendahuluan awal 1-0 yang dihajatkan ke arah membina keyakinan para pemainnya.

PBDB FT bagaimanapun berjaya bangkit menyamakan kedudukan, 1-1, pada minit ke-16 menerusi percubaan Md Yusran yang berjaya membolosi gawang Kota Junior.

Jaringan 1-1 itu hanya bertahan seminit apabila Md Faiz mengembalikan pendahuluan satu gol Kota Junior, kini dengan kedudukan 2-1.

Ketika perlawanan menghampiri penghujungnya dan jaringan 2-1 dilihat akan dibawa ke masa rehat, Awangku Md Naqib membuat perancangan lain dengan rembatan yang menggegar gawang PBDB FT untuk sebaliknya membawa kedudukan 3-1 ke masa rehat.

Faizul Jefry (dua kiri) membuka jaringan ketika mengepalai Kota Junior menang 4-2 ke atas PBDB FT semalam.
Faizul Jefry (dua kiri) membuka jaringan ketika mengepalai Kota Junior menang 4-2 ke atas PBDB FT semalam.

Empat minit selepas sepak mula separuh masa kedua, kedudukan berubah menjadi 2-3 apabila giliran Abee Sahrum pula yang berjaya membolosi gawang Kota Junior sekaligus menaikkan semangat para pemain PBDB FT untuk terus berjuang mencari gol penyamaan pula.

Kedudukan 3-2 yang belum selesa buat Kota Junior itu akhirnya berubah menjadi sedikit selesa, 4-2, tatkala Abdul Muinudin menyaksikan percubaannya berjaya menerjah gawang PBDB FT sewaktu masa perlawanan hanya berbaki dua minit lagi.

Kemenangan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam tadi itu membawa kutipan mata Kota Junior kepada 24 dari 9 permainan, tiga mata mendahului MS ABDB yang juga sudah bermain sembilan kali dengan penghasilan 49 jaringan dan 21 bolos.

Walaupun tewas, PBDB FT kekal di tempat keempat dengan 18 mata (32 jaringan & 34 bolos) daripada sembilan perlawanan.

Dengan pasukan di tangga ketiga, Shah United FC dan kelima, Arbisyam FC hanya akan bermain perlawanan kesembilan masing-masing Sabtu ini, 9 Mei, maka kedudukan MS ABDB dan PBDB FT pasti tergugat jika kedua-dua pasukan berkenaan memenangi perlawanan mereka masing-masing pada malam itu.

Shah United FC boleh memintas MS ABDB di tangga kedua jika menewaskan Rizfiz FT pada 9 Mei di Dewan Sebaguna, KSNHB jika berjaya mengumpul 21 mata sama dengan MS ABDB tetapi dengan kelebihan 54 jaringan setakat ini berbanding 49 buat MS ABDB.

Arbisyam FC pula boleh mengganti PBDB FT di tempat keempat dengan kemenangan ke atas Arbisyam FC pada jam 9:30 malam 9 Mei untuk mengumpul 21 mata, tiga mata di depan PBDB FT. Jaringan Arbisyam FC yang hanya 28 setakat ini tidak memungkinkannya untuk menggugat kedudukan MS ABDB dan Shah United FC walaupun jumlah mata sama.

Menutup tirai Minggu Kesembilan BFL2015 adalah perlawanan di antara BSRC FT dengan Mixed Star FT yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam di Dewan Serbaguna, KSNHB pada 17 Mei.

ARTIKEL YANG SAMA