KJ kenduri gol

KJ kenduri gol

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Kota Junior (KJ) mencatat jaringan terbesar dalam sejarah Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 setakat ini apabila membelasah Silveredz FT 22-1 malam tadi.

Pada persaingan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Md Faiz menjadi penyumbang terbesar Kota Junior dengan 7 jaringan (minit ke-12, 15, 23, 33, 34, 35 dan 37) disusuli Awangku Md Naqib dengan 6 jaringan (minit ke-5, 6, 7, 16, 26 dan 36).

Jaringan pembukaan Kota Junior dalam perlawanan tidak seimbang berkenaan ialah Nur Yamin seawal minit pertama dan menjaringkan gol lagi pada minit ke-32 untuk Kota Junior.

Turut mencatatkan dua jaringan ialah Md Aziquddin (minit ke-11 dan 19), sementara Md Farhan, Md Basir, Md Nor Azizam, Maziri dan Md Asri masing-masing menyumbangkan satu jaringan iaitu masing-masing pada minit ke-10, 20, 22, 24 dan 39.

Kota Junior hanya memerlukan satu mata pada perlawanan terakhirnya nanti untuk menjadi juara BFL2015 selepas membelasah Silveredz FT 22-1 malam tadi.
Kota Junior hanya memerlukan satu mata pada perlawanan terakhirnya nanti untuk menjadi juara BFL2015 selepas membelasah Silveredz FT 22-1 malam tadi.

Kemenangan besar itu membawa Kota Junior menghampiri kejuaraan BFL2015 dan kini melebarkan pendahuluannya dengan enam mata berbanding pesaing kuatnya yang lain, yang kesemuanya masih memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding Kota Junior.

Kota Junior kini mengumpul 27 mata daripada 10 perlawanan, disusuli oleh Shah United FC, MS ABDB dan Arbisyam FC masing-masing di tangga kedua, ketiga dan keempat dengan 21 mata daripada sembilan perlawanan.

Kini hanya tinggal tiga pasukan di bawahnya yang masih berpeluang secara matematik merampas kejuaraan, tetapi nasibnya tetap dipegang olehnya sendiri kerana jika menang perlawanan kesebelas dan terakhirnya menentang Street United pada 10 Jun nanti, kejuaraan sudah pasti menjadi miliknya.

Shah United FC, MS ABDB dan Arbisyam FC kekal berpeluang merangkul kejuaraan BFL2015 dengan syarat Kota Junior ditewaskan oleh Street United dan tiga pasukan itu menang kedua-dua baki perlawanan masing-masing dengan jaringan tinggi yang boleh mengatasi 77 jaringan Kota Junior setakat ini.

Shah United kini dengan 59 jaringan, manakala MS ABDB dengan 49 jaringan dan Arbisyam FC pula dengan 34 jaringan.

ARTIKEL YANG SAMA