K’jaan bantu kurangkan kos sara hidup

K’jaan bantu kurangkan kos sara hidup

SINGAPURA, 4 Jan (Bernama) – Kerajaan yang bertanggungjawab akan sedayaupaya membantu mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup rakyat dengan antara isu pertama yang ditangani ialah kos utiliti bulanan, terutama dalam kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Media di sini melaporkan lebih 800,000 isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima ansuran seterusnya rebat utiliti untuk bulan ini.

Isi rumah warga Singapura yang layak akan menerima Baucar GST – ’Utilities-Save’ (U-Save) antara S$45 dan S$65, bergantung kepada saiz pangsapuri (S$1=RM3.05).

Rebat itu diperkenalkan oleh kerajaan Singapura dalam Bajet 2012 bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana mengimbangi bil utility mereka, dan dibayar setiap Januari, April, Julai dan Oktober.

Kerajaan Malaysia juga membantu rakyatnya dengan cara tersendiri menerusi pemberian subsidi RM20 untuk bil elektrik bulanan kepada semua pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang layak.

Rebat itu yang ditawarkan sejak 1 Okt 2008 kepada sehingga sejuta pelanggan kediaman gergasi utiliti berkenaan, dipapar dalam bil elektrik bulanan sebagai ‘Dibiayai oleh Kerajaan Malaysia’.

Selain subsidi RM20 itu, kerajaan turut menawarkan diskaun antara tiga dan 10 peratus kepada pengguna industri yang mempunyai kos elektrik keseluruhan sekurang-kurangnya lima peratus daripada kos operasi tahunan keseluruhan.

Sehingga kini TNB mempunyai 8.5 juta pelanggan di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA