K’jaan belum dimaklumkan berhubung tuntutan kes culik

K’jaan belum dimaklumkan berhubung tuntutan kes culik

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kerajaan belum dimaklumkan mengenai sebarang tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kes penculikan dua warga Malaysia di Sandakan pada Khamis lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Sehingga sekarang saya belum dimaklumkan adanya sebarang tuntutan dibuat daripada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas kejadian penculikan ke atas seorang wanita dan seorang lelaki di sebuah restoran makanan laut oleh kumpulan bersenjata.

Wan Junaidi berkata beliau akan mengumumkan pada Jumaat ini tindakan atau keputusan yang akan diambil kerajaan berhubung insiden tersebut.

“Kita ada tindakan tertentu dan akan ada keputusan yang akan diambil,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman sebelum ini berkata penculikan mungkin didalangi ‘orang dalam’.

Beliau turut berkata keluarga mangsa telah menerima tuntutan wang tebusan daripada penculik. Kedua-kedua mangsa dilaporkan kini berada di sebuah pulau di perairan Filipina. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA