K’jaan Filipina komited bebaskan semua mangsa culik

K’jaan Filipina komited bebaskan semua mangsa culik

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Kerajaan Filipina komited untuk segera membebaskan semua mangsa culik dengan selamat termasuk lima kru bot pukat tunda rakyat Malaysia yang ditawan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Kedutaan Filipina, dalam satu kenyataan, berkata atas arahan daripada Presiden Rodrigo R. Duterte, sembilan batalion polis dan tentera terdiri daripada kira-kira 9,000 anggota telah dikerah untuk menjalankan operasi penguatkuasaan undang-undang. Operasi dijalankan di kawasan-kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian Abu Sayyaf di wilayah Sulu.

“Malah, sejumlah besar bot bermotor tidak berdaftar telah dirampas sejak beberapa minggu lalu di Sulu dan perairan berdekatan untuk menyekat pergerakanmilitan dan kepungan juga telah dilakukan oleh tentera laut Filipina,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata pihak berkuasa Filipina sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dengan berkongsi maklumat perisikan dan maklumat lain dalam usaha untuk membebaskan semua mangsa culik.

Kenyataan itu ialah susulan laporan dalam akhbar The Star hari ini bahawa satu mesej kecemasan (SOS) telah dihantar oleh seorang tebusan rakyat Malaysia yang ditahan merayu bantuan kerana dia kelaparan dan dipukul.

Pada 18 Julai lepas, kelima-lima rakyat Malaysia itu diculik oleh kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dekat perairan Lahad Datu, di pantai timur Sabah.

Kenyataan itu juga berkata Panglima Angkatan Tentera Filipina Jen Ricardo Visayahad berkata operasi menggempur kumpulan Abu Sayyaf tidak akan berkesudahan dan tiada tempoh ditetapkan bagi operasi tersebut dan pasukan tentera akan terus berada di kawasan itu sehingga objektifnya tercapai.

“Pembayaran wang tebusan adalah tidak produktif kerana sejumlah mana pun wang yang dibayar akan menyediakan logistik yang diperlukan untuk Abu Sayyaf cuba melakukan penculikan pada masa akan datang dan mendorong kumpulan itu dan konco-konconya melakukan jenayah dan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

Pada masa yang sama, dakwaan jurucakap kumpulan Abu Sayyaf bahawa pihak tentera tidak berada di kawasan yang tebusan ditahan adalah percubaan untuk mengelirukan dan mengalihkan perhatian pihak berkuasa.

“Jumlah anggota polis dan tentera yang dikerah di wilayah Sulu bagi memburu kumpulan penjenayah ini adalah yang terbesar dalam masa beberapa dekad.

“Dakwaan ini hanya bertujuan untuk menyembunyikan tekanan hebat yang dikenakan oleh pihak tentera ke atas mereka yang telah pun menyebabkan beberapa mangsa culik berjaya melarikan diri atau dibebaskan,” kata kenyataan itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA