K’jaan lulus RM23 juta bagi pembelian segera aset Esscom

K’jaan lulus RM23 juta bagi pembelian segera aset Esscom

KOTA KINABALU, 4 Jun (Bernama) – Kerajaan telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM23 juta bagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk perolehan segera aset yang perlu untuk memerangi jenayah rentas sempadan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ia adalah peruntukan tambahan daripada peruntukan RM660 juta kepada ESSCom di bawah Bajet 2015.

“Melalui peruntukan khas ini, kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan pembelian dan penghantaran aset-aset kepada Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

“Objektif utama ialah untuk memastikan keselamatan dalam linkungan ESSZone adalah terjamin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan ESSCom di sini hari ini.

Ali berkata ESSCom, diketuai oleh komandernya Datuk Abdul Rashid Harun, telah diberikan kebebasan untuk membeli aset-aset seperti bot dan kenderaan pacuan empat roda daripada pembekal tempatan.

Ali berkata lebih 200 daripada aset-aset itu diperlukan untuk mengukuhkan kawasan ESSCom di ESSZone.

Ketika ditanya mengenai aset udara seperti helikopter, Ali berkata perolehan seperti itu memerlukan masa tetapi tidak terkeluar daripada perancangan.