K’jaan S’wak percepat usaha sediakan bekalan air bersih

K’jaan S’wak percepat usaha sediakan bekalan air bersih

KUCHING, 29 Nov – Kerajaan Sarawak sedang mempercepatkan usaha menyediakan bekalan air terawat atau air bersih kepada baki 39 peratus penduduk yang meliputi kira-kira 114,000 isi rumah di negeri ini yang belum menikmati kemudahan itu.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Stephen Rundi Utom berkata ini selaras dengan usaha kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan pertumbuhan di kawasan luar bandar yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kemudahan asas termasuk menyediakan bekalan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, pada akhir 2015, liputan bekalan air di kawasan bandar di negeri ini adalah hampir 100 peratus tetapi liputan di kawasan luar bandarhanya kira-kira 61 peratus.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersetuju pada dasarnya untuk melaksanakan 141 projek dengan kos dianggarkan RM2.38 bilion,” kata beliau ketika menggulung ucapan untuk kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata 39 daripada projek tersebut bernilai RM490 juta telah diluluskan dalam rolling plan pertama dan menambah 141 projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 55,000 isi rumah.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM668 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi pembangunan sumber air mentah, kajian pelan induk, dan kerja-kerja penambahbaikan sistem di kawasan-kawasan kritikal.

Beliau berkata untuk memudahkan usaha menyediakan bekalan air ke kawasan-kawasan terpencil yang tidak dihubungkan melalui jalan,kementerian telah merumuskan program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

Menurut beliau, memandangkan faktor lokaliti dan kos yang terlibat SAWAS dijangka dilaksanakan mengikut fasa berdasarkan keutamaan dan ketersediaan dana, kata beliau. – Bernama