KKBS terima k...

KKBS terima kunjungan badan ragbi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, hari ini, menerima kunjungan hormat daripada rombongan perwakilan badan ragbi di Pejabat Menteri, Tingkat 8, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Berakas.

Menurut kenyataan KKBS, rombongan itu terdiri daripada Pengarah Perkhidmatan Ragbi – Asia, World Rugby yang beribu pejabat di Singapura, Ridzal Saat; Penyelaras, Get Into Rugby Asia, Asia Rugby yang beribu pejabat di Dubai, Benjamin van Rooyen dan Presiden Brunei Rugby Football Union (BRFU), Dr Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib. Turut hadir dalam kunjungan hormat ini ialah pegawai-pegawai kanan KKBS.

Kunjungan berkenaan bertujuan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat mengenai dengan perkembangan dan perancangan sukan ragbi di negara ini. Ahli rombongan juga menyampaikan hasrat untuk memperkenalkan projek Get Into Rugby di sekolah-sekolah dan daerah-daerah dengan kerjasama KKBS dan BRFU.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan bola ragbi simbolik kepada Presiden BRFU.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan bola ragbi simbolik kepada Presiden BRFU.

Negara Brunei Darussalam mempunyai potensi di peringkat serantau untuk dijadikan pusat ragbi (Rugby Hub) di peringkat Asia yang mana negara-negara lain seperti Jepun bersedia untuk membantu menyediakan kelengkapan, memberi latihan untuk jurulatih dan guru-guru sekolah di bawah tajaan World Rugby Union.

Yang Berhormat Pehin menyatakan hasrat untuk memberi sokongan dan bantuan yang bersesuaian ke arah pembangunan ragbi di semua peringkat. BRFU adalah ahli yang berdaftar di bawah badan World Rugby Union sebagai ahli bersekutu dan projek rintis dijangka akan mula dijalankan pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA