KKC wadah pengurusan berkesan

KKC wadah pengurusan berkesan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Konsep Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) adalah salah satu ‘management tools’ atau kaedah dan wadah pengurusan yang berkesan dalam mempertingkatkan kualiti kerja melalui kebolehan dalam menyelesaikan permasalahan pengurusan atau pentadbiran.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata penggunaan kaedah KKC yang bersistematik dan berterusan juga boleh mengenal pasti setiap isu-isu atau permasalahan yang timbul dan berupaya mengatasi isu-isu atau permasalahan tersebut lebih awal supaya jalan atau cara penyelesaian dapat dicari sebelum ia semakin rumit dan kompleks serta sukar untuk dibendung.

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan bahawa penubuhan KKC secara langsung dapat memberikan peluang pegawai dan kakitangan di jabatan masing-masing untuk bercambah fikiran dan minda selain berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam mempertingkatkan dan memperkesankan lagi pemberian perkhidmatan atau ‘service delivery’ dalam organisasi masing-masing supaya dapat menjadi contoh terbaik kepada jabatan-jabatan kerajaan lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen KKC ke-18 Peringkat Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya, yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

pg03_150709_c

pg03_150709_b

Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil dan hadiah kepada pemenang.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil dan hadiah kepada pemenang.

Konvensyen KKC Peringkat Kementerian Pembangunan kali ini telah dijuarai oleh Kumpulan GBS, diikuti oleh Kumpulan PGS 1415 dan Kumpulan Aset masing-masing di tempat kedua dan ketiga, yang mana ketiga-tiga kumpulan ini adalah dari Jabatan Ukur.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi di akhir majlis Konvensyen KKC berkenaan.

KKC adalah aktiviti tahunan yang diungkayahkan Kementerian Pembangunan dengan tujuan menggalakkan setiap jabatan di bawah kementerian mengadakan kumpulan-kumpulan bertindak bagi menangani masalah-masalah yang dikenal pasti di jabatan masing-masing sebagai usaha pembaikan secara berterusan ke atas proses kerja bagi memperbaiki perkhidmatan yang diberikan dapat meningkat dan bagi mencapai tahap lebih tinggi dalam prestasi, kualiti dan produktiviti perkhidmatan.

Sebanyak tujuh projek KKC terdiri daripada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan menyertai konvensyen berkenaan dan tiga pasukan yang memenangi di peringkat kementerian akan ikut serta dalam pertandingan KKC peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada September nanti.

Setiap kumpulan KKC dianggotai tidak melebihi 10 orang dan tidak kurang daripada lima orang.

Pada Konvensyen KKC kali ini, tujuh kumpulan dari dua jabatan di bawah Kementerian Pembangunan ikut serta iaitu enam kumpulan dari Jabatan Ukur dan satu kumpulan dari Jabatan Tanah.

ARTIKEL YANG SAMA