KKNK satu pengalaman berharga

KKNK satu pengalaman berharga

Oleh Mohammad Abdullah

 

TEMBURONG, 21 Mac – Konvoi Kenali Negara Kitani 2016 (KKNK) yang berlangsung di Daerah Temburong, memberikan pengalaman indah kepada para pesertanya selepas menunggang motosikal di kawasan hutan segar yang menggambarkan keindahan Permata Hijau Negara Brunei Darussalam, telah melabuhkan tirainya, kelmarin.

Majlis penutupan KKNK 2016 tersebut telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Labu, Haji Abdurrahman bin Haji Nasir selaku tetamu kehormat.

Konvoi itu telah berjaya mendedahkan penunggang motosikal berkuasa tinggi tentang keindahan hidup beragama, berbangsa dan bernegara yang telah diwarisi sejak dahulu lagi selaras dengan konsep Negara ‘Melayu Islam Beraja’.

Yang Di-Pertua Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA), Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad selaku pengerusi bersama KKNK 2016 semasa berucap di Kompleks Bumiputera, Bangar berkata, “Pengalaman selama dua hari di daerah ini tidak mampu kami ungkapkan dengan kata-kata.”

Semasa konvoi berkenaan, 32 bendera Negara Brunei Darussalam telah dikibarkan di atas motosikal sebagai simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32.

Para peserta KKNK bergambar ramai semasa Majlis Penutup KKNK 2016.
Para peserta KKNK bergambar ramai semasa Majlis Penutup KKNK 2016.

Pengiran Haji Redzuan juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur bersama, Persatuan Motosikal Temburong dan para peserta KKNK yang telah menjayakan KKNK 2016 ini.

Di samping memberikan pengalaman berharga kepada pesertanya, KKNK 2016 juga menyaksikan Pengiran Haji Mohd Zukarnaen bin Pengiran Haji Abu Bakar telah muncul sebagai pemenang Peraduan Mencipta Logo KKNK 2016, TB Mohd Sabtu Safar daripada Persatuan Motosikal Temburong muncul sebagai Biker Terbaik dan Dayang Norlia binti Yakub dari pada PEMODA pula muncul sebagai Biker Wanita Terbaik.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Daerah Temburong, Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Kemajuan Pelancongan dan Majlis Perundingan Kampung Piasau dan Kampung Sibut.

Acara KKNK yang diadakan setiap tiga tahun ini akan diadakan lagi pada 2019 dengan Daerah Belait akan menjadi tuan rumah.

ARTIKEL YANG SAMA