KL lebih menarik dengan sumbangan sektor swasta

KL lebih menarik dengan sumbangan sektor swasta

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) – Perniagaan swasta boleh menjadi pemangkin dalam menjadikan Kuala Lumpur tempat yang lebih menarik untuk didiami oleh orang dari seluruh dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini sejajar dengan matlamat kerajaan dalam menjadikan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang benar-benar menonjol.

“Ini boleh dicapai dengan penginapan, prasarana, pendidikan dan penjagaan perubatan yang terbaik. Sumbangan sektor swasta ini boleh meningkatkan kedatangan pelancong dan merangsang pasaran hartanah Malaysia dengan mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi bagi program Malaysia Rumah Keduaku,” katanya semasa melancarkan 8KiaPeng@KLCC, projek pembangunan mewah oleh I-Berhad, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong dan Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew.

Najib berkata pembangunan kawasan Greater Kuala Lumpur merupakan satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara di bawah Program Transformasi Ekonomi.

Beliau menegaskan keseluruhan sasaran adalah untuk mengubah ibu kota dan hab komersial negara itu menjadi satu kawasan metropolis bertaraf dunia yang akan meningkatkan standard terbaik dalam setiap bidang, daripada prasarana perniagaan hinggalah kepada sesuai didiami.

“Ini sejajar dengan matlamat kita bagi Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Dalam suasana inilah kerajaan memulakan pelbagai Projek Penggerak Ekonomi (EPP), seperti menubuhkan InvestKL untuk menarik syarikat global, pembangunan sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT), dan pembangunan bangunan baharu yang canggih,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA