KL lokasi termurah perniagaan di Asia Pasifik

KL lokasi termurah perniagaan di Asia Pasifik

SINGAPURA, 31 Ogos – Lokasi termurah di rantau Asia Pasifik untuk perniagaan ialah Kuala Lumpur manakala Singapura adalah lokasi kelima paling mahal, menurut hasil kajian yang dijalankan berdasarkan pada kadar harian.

Dikeluarkan oleh ECA International, penyedia pengetahuan, maklumat dan perisian utama dunia untuk pengurusan dan menempatkan pekerja di seluruh dunia, hasil kajian itu mendapati Bangkok, Phnom Penh dan Bandar Seri Begawan hanya bandar utama lain yang berada dalam kedudukan 10 lokasi termurah untuk perniagaan di Asia.

“Sebagai destinasi pelancong dan perniagaan yang utama, adalah mengejutkan melihat Kuala Lumpur dan Bangkok dalam kedudukan 10 lokasi termurah di rantau ini.

“Gabungan kos sara hidup yang secara amnya rendah, pilihan penginapan yang agak murah untuk pelancong perniagaan dan mata wang yang lemah berbanding dolar AS menyumbang kepada kedudukan lokasi ini,” kata Pengarah Serantau ECA International Asia, Lee Quane.

Dikemas kini setiap tahun, laporan itu menyediakan purata kos untuk penginapan hotel, yang membentuk sebahagian besar daripada elaun harian, selain makanan, minuman, pakaian, pengangkutan teksi dan keperluan harian.

Quane berkata kos yang biasa dialami semasa dalam lawatan perniagaan adalah termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan keperluan harian.

“Kami melihat jumlah kos yang ditanggung oleh seorang pelancong perniagaan di rantau ini adalah yang kelima tertinggi di Singapura,” katanya.

Saingan serantau Singapura, Hong Kong, menduduki kedudukan utama dalam ranking tahun ini.

Walaupun kos makanan dan perbelanjaan sampingan lebih mahal di Singapura, kos lebih tinggi berkaitan dengan penginapan di hotel di Wilayah Pentadbiran Khas itu menyumbang kepada kedudukannya sebagai lokasi paling mahal di Asia Pasifik untuk menjalankan perniagaan.

“Kadar bilik di Singapura antara yang tertinggi daripada lokasi yang kami kaji di rantau ini.

“Melihat kepada penginapan hotel bertaraf empat bintang, kadar di sini adalah ketujuh tertinggi di rantau ini, kira-kira 20 peratus lebih rendah daripada penginapan yang setanding di lokasi paling mahal, Hong Kong,” kata Quane.

Apabila kos hotel dikecualikan, lokasi paling mahal di rantau ini yang dikunjungi oleh pekerja sedikit berbeza.

Singapura meningkat kepada kedudukan keempat di rantau ini, mengatasi Dhaka, apabila kekurangan penginapan yang sesuai menyumbang kepada kadar yang tinggi dikenakan untuk bilik hotel.

Dhaka turun kepada lokasi ke-24 paling mahal di rantau ini apabila kadar hotel dikecualikan. Hong Kong turut jatuh kepada kedudukan kelapan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA