KLIHF 2015 buka tirai

KLIHF 2015 buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF), membuka tirainya hari ini, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dan akan berlangsung sehingga 10 Mei.

Pelancaran pameran tiga hari itu telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah binti Pengiran Maharajalela Sahibul Kahar Pengiran Anak Haji Mohd Yusof dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh.

Turut hadir, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan isteri, Pengiran Ratna Siti Nooraishah dan Pengarah Pelancongan Malaysia Brunei Darussalam, Dayang Zurina binti Abdul Samad.

Pengarah Urusan KLIHF, Puan Mona Din, dalam ucapan alu-aluannya di majlis itu berkata buat julung-julung kalinya, KLIHF diadakan di Brunei Darussalam, kerana negara ini dan Malaysia mempunyai ciri-ciri yang sama daripada segi negara dan penduduk yang beragama Islam.

Menurutnya, sambutan daripada Negara Brunei Darussalam amat menggalakkan semasa KLIHF kali pertama yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur tahun lepas.

YAM Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah dan TYT Datuk Awang Sahak memotong reben melancarkan Pameran Hijab Antarabangsa KL 2015.
YAM Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah dan TYT Datuk Awang Sahak memotong reben melancarkan Pameran Hijab Antarabangsa KL 2015.
YAM Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah menerima cenderahati daripada salah seorang peserta Pameran Hijab Antarabangsa KL 2015.
YAM Pengiran Anak Hajah Siti Radhiah menerima cenderahati daripada salah seorang peserta Pameran Hijab Antarabangsa KL 2015.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus dan isteri, Pengiran Ratna Siti Nooraishah bergambar ramai bersama warga Kolej Komuniti Malaysia.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus dan isteri, Pengiran Ratna Siti Nooraishah bergambar ramai bersama warga Kolej Komuniti Malaysia.

“Insya Allah, jika sambutan di negara ini begitu meriah, KLIHF akan mengadakan lagi pameran Hijab ini bagi tahun depan di ICC pada 3 sehingga 5 Jun, 2016,” ujarnya.

KLIHF, yang berkonsepkan ‘Business to Business’ (B2B) dan ‘Business to Consumer (B2C)’ dianjurkan oleh syarikat peruncitan busana Muslimah dan penganjuran acara antarabangsa, WOJ Wealth Sdn. Bhd. (WOJ).

Ia merupakan hasil usaha sama empat usahawan fesyen Muslimah Malaysia, iaitu Mona Din yang merupakan pemilik jenama Hajaba, Abjda Datuk Zulkifli dan Sukinah Datuk Zulkifli, pemilik jenama Nainikifli, serta Farrah Adeeba, pemilik jenama Najjah.

Sudah menjadi konsep KLIHF, beberapa tokoh dan selebriti Islamik dipilih sebagai ‘wajah KLIHF’ untuk bersama-sama mempromosi dan menjayakan program tersebut, iaitu Ustaz Don Danial, Mizz Nina, Altimet dan Rozita Che Wan.

Mereka dipilih berdasarkan pengaruh mereka di dalam bidang ilmu, dakwah dan fesyen Islamik.

Orang ramai yang datang untuk membeli-belah dan menyaksikan Pameran Hijab Antarabangsa KL 2015.
Orang ramai yang datang untuk membeli-belah dan menyaksikan Pameran Hijab Antarabangsa KL 2015.

KLIHF tahun ini menampilkan 150 peserta pameran dari pelbagai sektor berkaitan industri fesyen, tempatan dan luar negara iaitu pengusaha, peruncit, pemilik dan pengeluar fesyen Islamik; pembekal fabrik dan tekstil; pembekal mesin jahitan; pembekal aksesori (zip, butang, manik, benang, reben dan lainnya); pereka fesyen; institusi dan kolej fesyen; dan institusi kewangan.

Di samping itu, pelbagai program pentas menarik juga telah diatur untuk KLIHF2015 di Brunei dan Kuala Lumpur, termasuk lapan pertunjukan fesyen, dengan tema-tema Brisk walk in MILAN; NEW YORK never sleeps; LONDON Mind the Gap; PARIS I’m In Love; TOKYO the Harajukus; DUBAI the Golden Souk by WOJ; Jakarta Fashion Heaven; Mumbai the Style Capital.

Acara-acara lain termasuk forum perniagaan, sesi bersama para selebriti, Anugerah Ikon Ukhuwah Antarabangsa, Solat Jemaah Setiap Waktu bersama Ustaz Don, Jualan Amal Selebriti (hasil lelongan akan diberikan sepenuhnya kepada pertubuhan amal pilihan Miz Nina iaitu Viva Palestina Malaysia), Hijrah Selebriti, dan Usrah Mega (selama tiga malam berturut-turut).

Pameran dibukakan untuk kunjungan orang ramai bermula 9 pagi sehingga 9 malam.

ARTIKEL YANG SAMA