Klinik DZ Veterinary buka cawangan di KB

Klinik DZ Veterinary buka cawangan di KB

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 13 Jan – Klinik haiwan DZ Veterinary Clinic telah membuka cawangannya di Daerah Belait yang terletak di Jalan Jaya Negara di sini, dan telah mula beroperasi sepenuhnya hari ini.

Bercakap dengan pihak media di pejabat klinik tersebut, Dr. Che Zawiah Che Haron, salah seorang doktor haiwan di sana memberitahu, DZ Veterinary Clinic telah lama membuat perancangan untuk membuka sebuah cawangan yang baru selain ibu pejabat mereka di Kampung Sengkurong A, iaitu di belakang Masjid Sengkurong.

Menjelaskan secara lebih lanjut, Dr. Che Zawiah berkata cawangan ini dibuka hasil daripada permintaan orang ramai di daerah ini selepas menjalankan klinik haiwan bergerak ke daerah ini sejak beberapa tahun yang lalu.

“Kami mendapati hanya ada sebuah klinik haiwan lain yang beroperasi di daerah ini, cuma ianya dibuka selama tiga hari sahaja dari hari Sabtu hingga Isnin,” ujarnya.

Beliau memberitahu lagi bahawa DZ Veterinary Clinic akan beroperasi selama enam hari kecuali Ahad dari jam 9:30 pagi hingga ke 5:30 petang dan ditutup sementara pada Jumaat dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

Dr. Che Zawiah memeriksa seekor kucing di klinik DZ Veterinary.
Dr. Che Zawiah memeriksa seekor kucing di klinik DZ Veterinary.

“Buat masa ini, kami mempunyai dua orang doktor haiwan yang berkelayakan dari Universiti Putra Malaysia dalam bidang Kedoktoran Perubatan Haiwan dan akan menambah seorang lagi doktor untuk memberi tumpuan kepada ‘house-call’,” katanya lagi.

Perkhidmatan house-call DZ Veterinary Clinic memberi peluang kepada doktor haiwan mereka untuk berkunjung ke rumah-rumah. “Pada masa ini, kami sememangnya ada mempunyai perkhidmatan tersebut cuma terhad untuk keadaan tertentu pada masa ini,” jelas beliau.

Di antara perkhidmatan yang lain disediakan oleh klinik haiwan ini adalah perkhidmatan vaksinasi, ‘hospitalization’, kembiri (castration/neutering), dandanan, perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan, klinik haiwan kecil, kawalan parasit penyediaan ubat ternakan dan bekalan lain serta lawatan ke ladang-ladang ternakan.

ARTIKEL YANG SAMA