Klinik Kesihatan Daro musnah dalam kebakaran

Klinik Kesihatan Daro musnah dalam kebakaran

DARO, Sarawak, 7 Okt (Bernama) – Klinik Kesihatan Daerah Daro yang memberi perkhidmatan kepada lebih 30,000 penduduk sejak lebih 20 tahun lalu musnah dalam kebakaran kira-kira 3.45 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Daro, DSP Wagner Lisa Libut berkata, bangunan kayu yang menempatkan klinik kesihatan tersebut gagal diselamatkan tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Polis dan penduduk setempat berusaha memadam kebakaran itu tetapi gagal dan pada masa sama kita menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Mukah untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Alimat Sam ketika dihubungi memberitahu pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran klinik kesihatan tersebut pada jam 4.05 pagi.

Sebuah jentera dengan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 6.40 pagi berikutan jarak perjalanan yang jauh.

“Selain jauh, keadaan jalan raya tidak rata dan terpaksa menunggu perkhidmatan feri laluan antara Igan-Matu-Daro menyebabkan kenderaan tidak dapat dipandu laju. Ini menyebabkan kita lewat tiba di lokasi,” katanya.

Turut musnah dalam kejadian itu ialah sebuah ambulans, kenderaan pacuan empat roda dan empat kereta milik kakitangan klinik yang diletakkan di perkarangan bangunan itu.

Menurut Alimat, semasa tiba di lokasi api sudah tidak marak lagi manakala bangunan klinik pula musnah dan api berjaya dipadam sepenuhnya 8.20 pagi.