Klinik pemanduan Go Kart Ahad ini

Klinik pemanduan Go Kart Ahad ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Menjelang Perlumbaan Go Kart Bandar Seri Begawan 2015 (BDKC) bermula 20 sehingga 22 November ini sempena ulang tahun ke-45 penukaran nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan (BSB), Jabatan Bandaran BSB dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan menganjurkan Klinik Pemanduan Go Kart untuk orang ramai pada Ahad ini.

Penganjuran klinik itu adalah juga dengan sokongan Persatuan Go-Kart Brunei Darussalam, D’Sunlit Sdn Bhd dan pengurusan ViiCool Racing Team.

Klinik pemanduan Go Kart itu akan dibuka di kawasan letak kereta di Jalan Bendahara, bertentangan dengan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja di ibu negara pada 15 November ini.

Sehubungan itu, orang ramai terutama peminat sukan permotoran berpeluang untuk mendapat pengetahuan dan tip daripada para profesional mengenai teknik pemanduan mereka berdasarkan mengenai bagaimana mereka membuat persembahan dalam kereta Go Kart Rotax Max 125cc dengan satu tempat duduk.

Awang Ahmad Izzul Iman bin Haji Mohd Jazlan yang berusia 14 tahun adalah salah seorang pemandu paling muda yang mengambil bahagian dalam BDKC 2015.
Awang Ahmad Izzul Iman bin Haji Mohd Jazlan yang berusia 14 tahun adalah salah seorang pemandu paling muda yang mengambil bahagian dalam BDKC 2015.

Untuk menikmati peluang unik ini, mereka yang berminat menyertai Klinik Pemanduan Go Kart itu boleh mendaftar bermula pukul 9.30 pagi di kawasan klinik diadakan dengan membawa bersama lesen memandu yang sah.

Yuran kemasukan bagi aktiviti itu ialah $10 bagi setiap satu sesi di mana orang ramai boleh membuat tiga pusingan di kawasan litar menggunakan kenderaan yang disediakan. Selain itu para peserta dan orang ramai juga boleh juga menyaksikan persembahan perlumbaan oleh ViiCool Racing Team.

Klinik Pemanduan Go Kart selama sehari itu bertujuan menanam kesedaran, mendidik dan mempromosi sukan permotoran dalam kalangan orang ramai selain sebagai perkongsian maklumat mengenai pusingan akhir Perlumbaan Go Kart Brunei darussalam 2015.

Perlumbaan tersebut akan diadakan berhampiran kawasan Dermaga Diraja pada Ahad, 22 November.

ARTIKEL YANG SAMA