Klinik Vendor tangani isu kelewatan bayaran

Klinik Vendor tangani isu kelewatan bayaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Sejak Klinik Vendor diperkenalkan oleh Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan pada 25 April tahun ini, sebanyak 804 kes telah diterima, 107 sudah diselesaikan, 110 kes hampir selesai, dan selebihnya dalam proses pengumpulan maklumat yang diperlukan.

Klinik Vendor yang ditempatkan di Tingkat 2, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu jam 8:30 pagi hingga 3:30 petang itu adalah sebagai salah satu usaha bagi menangani isu-isu pembayaran lambat kepada pemborong dan pembekal agar lebih efektif dan berkesan.

Selain daripada menggunakan khidmat melalui kaunter, ada beberapa pihak kontraktor juga membuat aduan melalui pusat panggilan pelanggan 2383444 dan melalui e-mel ppp@treasury.mof.gov.bn.

Para kontraktor dan pembekal yang telah menggunakan khidmat klinik ini juga telah mendapat manfaat dari segi pengetahuan proses perbekalan dan pembayaran kerajaan dan tindakan-tindakan menangani masalah yang dihadapi berkaitan dengan pembayaran.

Dalam kenyataan yang diterima di sini, hari ini, Jabatan Perbendaharaan memaklumkan kepada orang ramai bahawa proses semakan aduan adalah termasuk penyemakan status pembayaran melalui Sistem TAFIS.

Bagi memudahkan penyiasatan, kontraktor-kontraktor dikehendaki untuk mengisi borang dengan dokumen-dokumen tertentu dilampirkan bersama bagi memudahkan Jabatan Perbendaharaan mengemukakan aduan kepada jabatan atau kementerian berkaitan di mana kontraktor telah membuat pembekalan atau memberikan perkhidmatan.

Jabatan Perbendaharaan juga akan memantau perkembangan termasuk mengadakan mesyuarat tiga pihak antara Jabatan Perbendaharaan, kontraktor dan kementerian atau jabatan berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Sehubungan itu, penyediaan klinik berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan perkhidmatan Jabatan Perbendaharaan agar masalah yang berkaitan dengan pembayaran dapat ditangani secara lebih berkesan.

Klinik ini juga menyediakan khidmat nasihat mengenai isu berkaitan dengan TAFIS, Purchase Order (PO), modul kontrak, sistem pengesan invois, prosedur pembelian dan lain-lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, Jabatan Perbendaharaan juga menekankan adalah penting bagi semua kontraktor, pembekal barangan ataupun perkhidmatan kepada kerajaan untuk mendapatkan terlebih dahulu Purchase Order (PO) yang dikeluarkan melalui TAFIS sebelum memulakan sebarang pekerjaan atau pembekalan barangan.

PO yang dikeluarkan akan memastikan semua proses mengikut prosedur yang betul bagi melancarkan proses pembayaran.

Mana-mana kontraktor dan pembekal yang ingin membuat perjumpaan di klinik berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberikan maklumat-maklumat yang berkenaan lebih awal bagi membolehkan Jabatan Perbendaharaan meneliti dalam TAFIS dan jabatan yang berkenaaan sebelum perjumpaan diadakan.

Semasa sesi klinik berkenaan, wakil dari jabatan yang berkenaan akan dijemput sama bagi membincangkan dan menyelesaikan isu yang dibangkitkan. Mereka juga dinasihatkan untuk membawa sama dokumen-dokumen asal yang berkaitan seperti PO, tuntutan, kontrak atau surat tawaran semasa perjumpaan berkenaan.

Tambah kenyataan itu lagi, Jabatan Perbendaharaan memaklumkan bahawa Klinik Vendor juga telah disediakan di cawangan Daerah Belait, Tutong dan Temburong sejak 29 Ogos lalu.

Penyediaan klinik Vendor di daerah-daerah tersebut adalah dihasratkan untuk memudahkan lagi syarikat-syarikat dan pembekal-pembekal untuk mengatur perjumpaan dengan pihak Jabatan Perbendaharaan bagi mengetahui status pembayaran ke atas perkhidmatan ataupembekalan yang telah diberikan kepada pihak kerajaan, di samping untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai proses pemerolehan (procurement) dan pembayaran kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA