Klinik Vendor tangani isu pembayaran lambat

Klinik Vendor tangani isu pembayaran lambat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Dalam usaha menangani isu-isu pembayaran lambat kepada pemborong dan pembekal agar lebih efektif dan berkesan, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa bermula esok (9 Mei 2016), Klinik Vendor (Vendors Clinic) akan ditempatkan di Ruang Lobi, Bangunan Kementerian Kewangan iaitu berdepan dengan Dewan Teater Kementerian Kewangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, sesi klinik akan diadakan pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu, bermula jam 8:30 pagi hingga 3:30 petang. Sehubungan itu, para pembekal yang mempunyai masalah berkaitan dengan pembayaran lambat atau berhasrat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan pembayaran, adalah dialu-alukan untuk menghadiri sesi klinik berkenaan.

Mereka boleh membuat temu janji iaitu sama ada dengan menghubungi Pusat Panggilan Perkhidmatan Pelanggan 2383444, menghantarkan e-mel kepada ppp@treasury.mof.gov.bn atau melayari Laman Facebook Kementerian Kewangan. Di samping itu, para pembekal dinasihatkan untuk memberikan maklumat-maklumat yang berkenaan dengan lebih awal bagi membolehkan Jabatan Perbendaharaan meneliti dalam sistem TAFIS dan jabatan yang berkenaan sebelum perjumpaan diadakan.

Semasa sesi klinik berkenaan, wakil dari jabatan yang berkenaan akan dijemput sama bagi membincangkan dan menyelesaikan isu yang dibangkitkan. Pembekal juga dinasihatkan untuk membawa sama dokumen-dokumen asal yang berkaitan seperti Purchase Order, tuntutan, kontrak atau surat tawaran semasa perjumpaan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA