Klinsmann dihujung tanduk

Klinsmann dihujung tanduk

LOS ANGELES, 17 Nov – Gesaan agar Jurgen Klinsmann (gambar) dipecat semakin meningkat semalam selepas skuad AS mengalami kekalahan paling teruk dalam lima tahun kendaliannya sekali gus menghadapi persaingan sukar untuk layak ke Piala Dunia.

Tewas 4-0 kepada Costa Rica Selasa lalu di San Jose, empat hari selepas tewas 2-1 kepada Mexico di Columbus Jumaat lalu, memastikan pasukan AS berada di tangga tercorot dalam enam pasukan kelayakan bagi kumpulan CONCACAF.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah pasukan AS tewas dalam dua perlawanan pembukaan kelayakan dan kali pertama sejak 2001 mereka tewas berturut-turut untuk persaingan kelayakan.

“Inilah kekalahan paling mengecewakan dalam tempoh lima tahun saya berada di sini tanpa diragui,” kata Klinsmann selepas kekalahan Selasa lalu dalam kekalahan kelayakan paling teruk AS sejak tewas 6-0 kepada Mexico pada 1957. “Ia sukar untuk diterima.”

Buat masa sekarang, majikan Klinsmann di United State Soccer mengekalkan kedudukan mereka mengenai masa depan jurulatih itu.

“Kami tidak akan membuat sebarang keputusan selepas perlawanan,” kata ketua US Soccer, Sunil Gulati berikutan kekalahan kepada Costa Rica. “Kami akan memikirkan mengenai apa yang berlaku hari ini dan berbincang bersama Jurgen dan melihat kedudukan.”

Tetapi bagi kritikan terhadap Klinsmann di kalangan pengulas dan akhbar yang berpangkalan di AS, kekalahan itu adalah pengesahan terakhir di mana masa depan jurulatih dari Jerman itu sudah berakhir.

Kekalahan pada lalu adalah antara kekecewaan yang menjejaskan kendalian Klinsmann dalam tempoh dua tahun sejak pasukannya kembali dari Piala Dunia 2014 sebagai wira selepas mara ke pusingan kedua, di mana mereka berjaya keluar dari ‘Kumpulan Maut’ yang menempatkan Jerman, Portugal dan Ghana.

Kegagalan untuk memenangi Piala Emas 2015 di laman sendiri selepas tersingkir dari separuh akhir, disusuli kekalahan kepada Mexico dalam playoff untuk menentukan wakil CONCACAF pada Piala Konfederasi 2017 di Rusia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA