Klinsmann terkejut tewas 4-0

Klinsmann terkejut tewas 4-0

SAN JOSE, 16 Nov – Jurulatih Amerika Syarikat (AS) Jurgen Klinsmann berkata, kekalahan 4-0 pasukannya dibelasah Costa Rica merupakan kekalahan paling melemahkan semangatnya pada Selasa ketika mengulas mengenai kekalahan berturut-turut kelayakan Piala Dunia.

“Ia pasti kekalahan paling menyakitkan dalam tempoh lima tahun saya,” Klinsmann yang muram mengaku selepas menyaksikan Costa Rica meratah AS pada malam yang lembab di San Jose Estadio Nacional.

Joel Campbell dari Arsenal menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit babak kedua selepas Johan Venegas dan Christian Bolanos meletakkan pasukan suku akhir Piala Dunia 2014 itu 2-0 di hadapan.

Kekalahan yang menyusul aib 2-1 di laman sendiri kepada Mexico di Columbus Jumaat lepas, meninggalkan AS di tangga bawah enam pasukan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018 rantau CONCACAF.

Walaupun masih terdapat banyak mata untuk diraih dengan baki lapan perlawanan, Klinsmann mengaku dia tidak menjangka gagal meraih walau satu mata daripada dua aksi pembukaan.

Reaksi Klinsmann semasa menyaksikan pasukannya dibelasah Costa Rica 4-0 dalam aksi kelayakan di San Jose, kelmarin. – AP
Reaksi Klinsmann semasa menyaksikan pasukannya dibelasah Costa Rica 4-0 dalam aksi kelayakan di San Jose, kelmarin. – AP

“Tanpa diragui inilah masa paling pahit untuk kami,” kata Klinsmann. “Kami tidak menyangka bermula dengan dua kekalahan. Kami tahu sukar menentang Mexico dan Costa Rica dalam dua aksi pertama kerana anda ingin meraih mata.

“Ini sebenarnya masa untuk memikirkan apa yang berlaku 10 hari lepas. Saya berkata kepada pemain ini bukan kekalahan terakhir 4-0 dalam kerjaya mereka. Tetapi mudah-mudahan mereka mengambil ikhtibar daripada kekalahan ini. Sudah pasti ia pahit kerana kami mahukan yang lebih baik daripada apa yang kami lakukan.”

AS berjaya menyertai setiap edisi Piala Dunia sejak pusingan akhir 1990 di Itali. Tiga pasukan teratas kejohanan ‘round robin’ CONCACAF layak secara automatik ke Rusia dan pasukan keempat memasuki play-off.

Kekalahan semalam pasti memperbaharui spekulasi mengenai kedudukan Klinsmann selepas taktik dan kakitangannya dikritik berulang kali sejak setahun lal.

Costa Rica mengatasi AS dalam aksi semalam dan mereka ketinggalan sejurus sebelum rehat apabila ‘Los Ticos’ pergi ke hadapan dengan jaringan yang tidak kencang.

Benteng rapuh Omar Gonzalez membolehkan Bolanos untuk sampai ke garisan dan memberikan hantaran kepada Venegas yang tidak dikawal oleh John Brooks untuk membolosi gawang Brad Guzan.

Bolanos menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-69 dengan rembatan jarak dekat selepas hantaran silang cantik oleh Bryan Ruiz.

Gol kedua Costa adalah petunjuk keruntuhan pertahanan AS dan sekali lagi kesilapan Brooks mengundang padah.

Bek tengah dari Hertha Berlin itu membuat potongan dahsyat hantaran jauh ke depan dan Campbell pula menerkam untuk menewaskan Guzan. – AFP