Klinsmann tolak dakwaan ganti Allardyce

Klinsmann tolak dakwaan ganti Allardyce

LOS ANGELES, 29 Sept – Jurgen Klinsmann telah menolak khabar angin untuk mengisi ruang jawatan pengurus England, berkata dia akan kekal fokus di Amerika Syarikat bagi kempen kelayakan Piala Dunia seterusnya.

Jurulatih AS itu telah dinamakan dalam beberapa laporan sebagai calon berpotensi untuk menggantikan Sam Allardyce, yang meletak jawatan sebagai bos England kelmarin selepas hanya memegang jawatan itu selama 67 hari.

Namun Klinsmann bertindak pantas menidakkan spekulasi itu, menyatakan di Twitter bahawa laporan yang mengaitkannya dengan jawatan itu adalah tidak benar. “Tiada kebenaran terhadap khabar angin mengenai England,” Klinsmann menulis dalam Twitter.

Penyerang pemenang Piala Dunia 1990 bersama Jerman itu menambah dia sibuk merancang bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia Amerika Syarikat menentang Mexico di Columbus November depan.

“Keseluruhan fokus kami adalah pada 11 November apabila Columbus akan dimeriahkan,” tambah Klinsmann, yang juga dipercayai sebagai calon berpotensi apabila Allaydyce dilantik pada Julai selepas persembahan buruk England pada Euro 2016. – AFP