KLMCC sasar RM60 bilion nilai dagangan dengan Khuzestan

KLMCC sasar RM60 bilion nilai dagangan dengan Khuzestan

PETALING JAYA, 5 Okt (Bernama) – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (KLMCC) menyasarkan untuk mencapai nilai dagangan sebanyak RM60 bilion dalam masa setahun susulan usaha sama dengan dewan perniagaan dari wilayah Khuzestan, Iran, Khuzestan Industrial Estates Company.

Presiden KLMCC Datuk Sharifuddin Musa berkata sasaran itu realistik berdasarkan permintaan barangan Malaysia yang tinggi di negara tersebut.

“Jumlah tersebut adalah anggaran kasar, bagaimanapun produk negara kita terutamanya kosmetik, barangan berasaskan herba, wangian, produk halal dan makanan separa proses mendapat permintaan tinggi dalam pasaran negara itu,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan wakil Khuzestan, Isnin.

Terdahulu, KLMCC mengadakan pertemuan dengan delegasi Khuzestan seramai 40 orang mewakili pelbagai sektor termasuk makanan dan tekstil.

Sharifuddin berkata sebanyak 50 syarikat Malaysia yang merupakan ahli KLMCC akan terlibat dalam perniagaan dua hala yang pertama kali diadakan itu dan produk keluaran mereka akan dipamerkan di pasar raya negara itu.

“Bagi mereka (Khuzestan), permintaan tinggi bagi permaidani, wangian dan barangan berasaskan herba dalam pasaran Malaysia telah menarik minat mereka untuk meneroka pasaran Malaysia,” katanya.

Mengenai Bajet 2016, beliau berharap lebih banyak bantuan akan disalurkan kepada peniaga kecil dan sederhana untuk meneroka pasaran antarabangsa.

“Ketika ini, peluang dan perhatian lebih diberikan kepada syarikat-syarikat besar manakala syarikat kecil dan sederhana tidak terdedah kepada peluang yang lebih baik dan mereka mengalami kekurangan dana,” katanya.

Terdapat 3,600 ahli berdaftar dengan KLMCC dan 250 ahli di bawah Khuzestan Industrial Estates Company.

ARTIKEL YANG SAMA