Klopp bimbang ancaman Dortmund

Klopp bimbang ancaman Dortmund

LONDON, 31 Mac (AFP) – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bimbang dengan ancaman bekas kelabnya Borussia Dortmund di atas padang berbanding mana-mana pasukan lain.

Klopp akan menentang Dortmund dalam dua perlawanan suku akhir Liga Europa minggu depan selepas meninggalkan kelab itu pada akhir musim lalu dengan meraih banyak kejayaan dalam tempoh tujuh tahun.

Ia pasti menjanjikan sejarah yang unik untuk pengendali kelahiran Jerman berusia 48 tahun itu, tetapi dengan Dortmund kini berada di kedudukan kedua Bundesliga dan Liverpool pula di tangga kesembilan dalam Liga Perdana Inggeris, dia tidak memikirkan berkenaan sentimen terbabit.

“Ia tidak akan menjadi satu perbalahan dalaman antara kelab lama dan baru saya,” kata Klopp dalam komennya yang disiarkan di laman web Liverpool.

“Ia tidak akan menjadi masalah bagi saya. Sebelum saya menyertai BVB (Dortmund), saya mempunyai hubungan yang baik dengan (bekas kelab) Mainz.

Klopp mengakui bimbang dengan Dortmund di atas padang berbanding mana-mana pasukan lain. – Reuters
Klopp mengakui bimbang dengan Dortmund di atas padang berbanding mana-mana pasukan lain. – Reuters

“Kami semua sedar bagaimana sukarnya perlawanan ini. Kami perlu menghormati cara permainan Dortmund. Tetapi pada hari yang baik dan apabila (kami) menjayakan perancangan ini, kami mempunyai peluang.

“Kami sentiasa mempunyai perancangan yang sangat baik menentang pasukan yang bermain bola sepak dengan baik. Kami tidak akan merehatkan sesiapa.”

Dortmund menyingkirkan pencabar domestik Liverpool, Tottenham Hotspur 5-1 menerusi agregat pada pusingan 16 terakhir, dan skuad Klopp mengatasi musuh ketat Manchester United 3-1.

Liverpool berkunjung ke Dortmund untuk perlawanan suku akhir pertama Liga Europa pada 7 April, dengan perlawanan kedua akan berlangsung di Anfield seminggu kemudian.