Klopp calon popular ganti Rodgers

Klopp calon popular ganti Rodgers

LONDON, 5 Okt (Agensi) – Pemecatan Brendan Rodgers, awal pagi tadi menyaksikan pemilik Liverpool mengambil ‘jalan sukar’ untuk melantik pengurus baharu kelab itu.

Pun begitu, bekas pengendali Borussia Dortmund, Jurgen Klopp kini muncul pilihan utama untuk jawatan itu selepas Rodgers dihubungi Presiden Fenway Sports Group (FSG), Mike Gordon yang tugasnya di Anfield sudah berakhir.

Selain Klopp, Carlo Ancelotti yang juga bekas pengendali Chelsea turut tersenarai antara pilihan, namun sekalipun pengurus kelahiran Itali itu bersedia berbincang, tanda-tanda awal lebih terarah kepada calon yang diinginkan FSG.

Rodgers disingkirkan selepas Liverpool mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Everton di Goodison Park, namun FSG dikatakan sudah mengambil keputusan itu tanpa bersandarkan keputusan yang dicatat.

Ketika memecat Kenny Dalglish pada Mei 2012, FSG memerlukan hampir sebulan dan mengadakan temu janji dengan beberapa calon sebelum memilih Rodgers.

Bekas pengendali kelab Borussia Dortmund yang kini calon popular untuk menggantikan Brendan Rodgers. – AFP
Bekas pengendali kelab Borussia Dortmund yang kini calon popular untuk menggantikan Brendan Rodgers. – AFP

Begitupun, proses sama dikatakan tidak dapat dijalankan ketika ini.

Liverpool dilaporkan tidak akan menggunakan pengurus sementara dan pengendali baharu dijangka mengemudi kelab itu ketika kunjungan ke Tottenham pada 17 Oktober ini selepas rehat aksi antarabangsa.

Kelab itu juga masih belum memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan iaitu Sean O’Driscoll, Gary McAllister dan Pepijn Lijnders.

“Kelab Bola Sepak Liverpool sudah mengumumkan Brendan Rodgers akan meninggalkan jawatannya serta merta selepas kontraknya ditamatkan. Proses untuk melantik pengurus baharu sedang dijalankan,” kata Liverpool dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan FSG, pemilik John W Henry, Pengerusi, Tom Werner dan Gordon berkata: “Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Brendan Rodgers atas sumbangan yang diberikan untuk kelab dan mengucapkan rasa terima kasih kami atas segala usaha dan komitmennya.”

ARTIKEL YANG SAMA