Klopp disambut penuh emosi

Klopp disambut penuh emosi

DORTMUND, 8 April (AFP) – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menerima sambutan penuh emosi ketika kepulangannya ke Borussia Dortmund yang turut diraikan dengan nyanyian lagu yang digubah daripada ‘’You’ll Never Walk Alone’.

Lebih 65,000 penyokong kedua-dua pasukan memenuhi Westfalenstadion bagi meraikan kehadiran Klopp yang menabur bakti tujuh musim di kelab Bundesliga itu sebelum berhijrah ke Anfield tahun lalu.

Klopp turut menyapa bekas pemainnya dengan senyuman sebelum menunjukkan rasa hormat kepada penyokong Dortmund yang lebih dikenali sebagai ‘Yellow Wall’ yang memenuhi kawasan belakang di bahagian selatan stadium.

“Detik yang sungguh istimewa dan begitu menyentuh hati saya,” kata pengendali berusia 48 tahun itu kepada Sky.

Bagaimanapun, dia mengakui begitu janggal apabila melangkah masuk ke bilik persalinan bagi pasukan pelawat di stadium terbabit.

Seorang peminat Liverpool menjulang skarf Juergen Klopp sebelum perlawanan pusingan pertama Liga Europa di Dortmund kelmarin. – AFP
Seorang peminat Liverpool menjulang skarf Juergen Klopp sebelum perlawanan pusingan pertama Liga Europa di Dortmund kelmarin. – AFP

“Saya tidak tahu bagaimana rupanya,” katanya meskipun dia pernah berada di bilik persalinan pelawat ketika dia menjadi pengurus pasukan Mainz daripada 2001 hingga 2008.

“Saya hanya mengingatkan diri sendiri supaya menuju ke kanan dan bukannya ke kiri untuk ke bilik persalinan,” katanya.

Kepulangan Klopp ke Dortmund buat kali pertama mendominasi berita sukan di Jerman sepanjang minggu, malah ianya lebih hangat berbanding kemenangan 2-0 yang dicatat Wolfsburg ke atas Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi kelmarin.

ARTIKEL YANG SAMA