Klopp enggan berjabat tangan dengan Tony Pulis

Klopp enggan berjabat tangan dengan Tony Pulis

LIVERPOOL, 15 Dis (Agensi) – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilihat enggan berjabat tangan dengan pengurus West Bromwich Albion, Tony Pulis selepas tamat perlawanan antara kedua-dua pasukan yang berkesudahan seri 2-2.

Pada aksi yang berlangsung di Anfield awal pagi semalam itu, The Reds terpaksa menunggu sehingga ke masa kecederaan sebelum penyerangnya, Divock Origi menyamakan kedudukan 2-2, sekali gus berkongsi satu mata dengan West Brom.

Ketika perlawanan berlangsung, Klopp dan Pulis dilihat bertikam lidah di tepi padang selepas pemain pertahanan Liverpool, Dejan Lovren dikasari oleh Craig Gardner.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini (enggan berjabat tangan) dan saya juga tidak mahu ingat mengenainya. Saya hanya membincangkan mengenai bola sepak dan saya hanya ambil berat mengenai pasukan saya.

“Memang kami ada bertengkar ketika perlawanan berlangsung dan ia memerlukan masa untuk ia kembali tenang. Kebiasaannya saya akan berjabat tangan. Namun, ini bukannya perlawanan persahabatan,” kata Klopp.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Borussia Dortmund itu mengakui kekasaran yang dilakukan ke atas Lovren adalah bersih dan tidak bertujuan untuk mencederakan pemainnya itu.

“Secara jujur, perkara tersebut sentiasa berlaku dalam bola sepak dan dia (Gardner) melakukan terjahan yang bersih, dia sasarkan bola. Jika dia berniat mencederakan Lovren, kita tidak akan berbincang mengenai perkara ini,” ujar Klopp.

ARTIKEL YANG SAMA