Klopp gembira dengan keberadaan Sturridge

Klopp gembira dengan keberadaan Sturridge

BIRMINGHAM, 15 Feb – Pengendali Liverpool Jurgen Klopp memuji Daniel Sturridge yang menjadi penyumbang utama dalam kemenangan 6-0 ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Penyerang England itu memulakan perlawanan liga buat kali pertama sejak Oktober selepas beberapa siri kecederaan melandanya, dan dia meledak gol pembukaan Liverpool menerusi tandukan pada minit ke-16. Klopp berharap pemain 26 tahun itu akan bebas daripada kecederaan dan dapat menampilkan corak permainan cemerlang seperti ditampilkan dalam kemenangan ke atas Villa itu.

“Sudah tentu kami memerlukan gol daripada Daniel dan dia juga memerlukannya, itu jelas sekali,” kata pengendali dari Jerman itu.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila dia menjaringkan gol, tetapi saya agak kagum melihat betapa bagusnya dia bersama pasukan serta pergerakannya. Dia adalah penyerang tulen.

“Saya gembira melihat dia cergas dan apabila dia menyelinap di atas padang, ia amat sukar dikekang oleh pertahanan kerana dia sentiasa berada di sesuatu tempat dan anda sukar menjangka pergerakan seterusnya.

“Bagi kami ini amat penting dan mengubah perjalanan kami, tetapi kami hanya mampu berkata begini ketika kehadirannya.

“Apabila dia tiada, kami tidak boleh berkata, ‘jika ada Daniel pasti ia berbeza.’ Dalam perlawanan ini, dia sangat cemerlang.”

Sturridge kembali menyertai senarai penjaring pada hari sama rakan sepasukannya dalam skuad England, Danny Welbeck kembali beraksi untuk Arsenal dan meledak gol kemenangan ke atas Leicester City.

Kedua-dua pemain ini memburu tempat dalam kesebelasan utama England ke kejohanan Euro 2016 di Perancis. – AFP