Klopp gesa Reds bersabar

Klopp gesa Reds bersabar

LIVERPOOL, 23 Sept – Liverpool kini dalam usaha membina momentum selepas mengecapi tiga kemenangan berturut-turut yang dilakar dalam saingan Liga Perdana dan Piala Liga tetapi pengurus Reds Jurgen Klopp (gambar) meminta semua bersabar apabila skuadnya berdepan Hull City di Anfield, esok.

Anak buah Klopp berjaya mengatasi lawan berkualiti tinggi iaitu Arsenal, juara bertahan, Leicester City dan Chelsea musim ini dengan corak permainan pantas.

Bagaimanapun, kekalahan mereka setakat ini hadir ketika menentang Burnley yang melakar kemenangan 2-0 biarpun hanya menguasai bola sebanyak 19 peratus.

Hull membuktikan mereka mampu mengatasi tekanan musim ini tetapi Klopp percaya ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan kepada penyokong jika terlalu teruja andai gol awal gagal dihasilkan menentang lawan yang sepatutnya mampu ditewaskan Liverpool.

“Ramai merasakan kami mempunyai masalah apabila berdepan pasukan yang berkampung di hadapan gol. Saya tidak boleh ingat berapa banyak ruang yang kami miliki ketika menentang Chelsea dan Tottenham Hotspur (seri 1-1).

“Kami perlu mencari jalan penyelesaian. Saya fikir kami boleh memperbaikinya – pasukan, jurulatih, pengurus dan penyokong. “Jika kamu mencipta peluang bertemu Chelsea, ia sesuatu yang positif.

“Jika kamu terlepas, ia masih positif kerana kamu mencipta peluang menentang lawan seperti Chelsea. Jika kamu terlepas peluang menentang Burnley, ia negatif.

“Itu yang kami perlu belajar, tiada permainan bola sepak yang mudah. Ia bukan mudah bertemu Hull, mengapa pula ia mudah?,” kata Klopp. – AFP