Klopp kagumi aksi Liverpool

Klopp kagumi aksi Liverpool

LONDON, 27 Dis – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata dia ‘sangat berpuas hati’ apabila skuad kendaliannya menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Leicester City 1-0, malam tadi.

Pemain gantian, Christian Benteke menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas sejam sekali gus menyaksikan kekalahan sulung The Foxes dalam tempoh tiga bulan dan yang pertama di laman lawan sejak Mac lalu.

Liverpool juga berjaya menghalang Leicester daripada meledak jaringan buat kali pertama sejak Mei lalu.

“Kami berhak atas kemenangan ini,” kata Klopp selepas perlawanan. “Kami bergelut ketika berdepan Watford minggu lalu (tewas 0-3), tetapi hari ini, kami lebih baik.

“Kami tahu, sekiranya mampu memberi tumpuan, kami akan mempunyai peluang kerana ia tidak terlalu intensif pada babak pertama, jadi kami mampu melakukan lebih lagi pada babak kedua.

Jurgen Klopp meraikan kemenangan Liverpool bersama Henderson selepas perlawanan itu. – Reuters
Jurgen Klopp meraikan kemenangan Liverpool bersama Henderson selepas perlawanan itu. – Reuters

“Kami menjaringkan satu gol tetapi selepas semua strategi digunakan Leicester, ia makin menjadi sukar dan sangat sengit…bukan mudah untuk bertahan, namun kami mampu melakukannya. Kami mempunyai kesabaran, jadi ia sesuatu yang bagus dan kami berhak untuk tiga mata ini.

“Banyak pasukan mencubanya sebelum ini dan ia bukan mudah, jadi saya sangat berpuas hati dengan apa yang kami lakukan hari ini,” katanya.

Satu-satunya masalah yang dihadapi Liverpool ialah apabila sekali lagi berdepan masalah kecederaan hamstring, kali ini dialami penyerang mereka, Divock Origi. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA