Klopp ke Anfield

Klopp ke Anfield

LONDON, 6 Okt (Agensi) – Jurgen Klopp dijangka menandatangani kontrak bersama Liverpool pada Khamis atau Jumaat ini, menurut media British hari ini.

Daily Mail melaporkan bekas pengendali Borussia Dortmund itu dijangka mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu dengan lembaga pengarah kelab berkenaan hari ini.

Jika kedua-dua pihak bersetuju, Klopp, 48, bakal mengikat kontrak selama tiga tahun sebagai pengendali skuad The Reds bagi menggantikan Brendan Rodgers yang dipecat pada hujung minggu lalu.

Klopp menjadi pilihan utama kelab untuk menggantikan Rodgers, meskipun nama bekas pengendali Real Madrid dan Chelsea, Carlo Ancelotti turut disebut-sebut. Liverpool sebelum ini menurut Daily Mail, sudah pun bertemu dengan Klopp.

Bekas pengendali Dortmund itu semalam dilaporkan meminta supaya pemilik Liverpool, Fenway Sports Group memberikannya kuasa mutlak untuk membuat keputusan berhubung pengambilan pemain.

Klopp dalam gambar fail 28 April 2015 ketika meraikan kemenangan Dortmund dalam aksi separuh akhir Piala Jerman. – AFP
Klopp dalam gambar fail 28 April 2015 ketika meraikan kemenangan Dortmund dalam aksi separuh akhir Piala Jerman. – AFP

Sementara itu Mirror pula melaporkan Klopp bakal diperkenalkan sebagai pengurus baharu Liverpool sebelum penghujung minggu ini. Perbincangan untuk mengikat pengendali Jerman ini berjalan pantas sebaik sahaja Rodgers dipecat Ahad lalu.

Daily Mail Online dalam laporannya sebentar tadi berkata, pengendali berkarisma dari Jerman itu kini menjadi pilihan utama Liverpool untuk menggantikan Rodgers yang dipecat semalam oleh pemilik kelab itu menerusi telefon sejurus selepas The Reds seri 1-1 dengan Everton di Goodison Park.

Difahamkan Klopp dan Liverpool sudah pun berhubung dan kelab EPL itu teruja untuk melantiknya tatkala dia yang tidak terikat dengan mana-mana kelab dikatakan sebagai punca kepada keputusan pemecatan Rodgers yang sudah diputuskan seminggu lalu itu.

Bekas pengendali Borussia Dortmund itu berminat datang ke Anfield, namun memberitahu kelab itu dia tidak akan mematuhi arahan jawatankuasa perpindahan yang membuat keputusan buruk dalam tempoh dua tiga tahun lalu.

Klopp memberitahu Liverpool dia gembira menerima nasihat dan cadangan mengenai pemain tetapi pengendali itu mahu kata putus dibuat oleh dirinya.Ini adalah antara keistimewaan yang tidak dinikmati Rodgers sepanjang bersama kelab itu sebelum ini.

ARTIKEL YANG SAMA