Klopp ketepikan masalah Sakho

Klopp ketepikan masalah Sakho

LIVERPOOL, 25 Sept – Jurgen Klopp tidak mahu mengulas mengenai komen kontroversi daripada tonggak pertahanan, Mamadou Sakho membayangi hari gemilang Liverpool yang beraksi cemerlang terutama pada babak pertama ketika membelasah Hull City 5-1 di Anfield, malam tadi.

Sakho, semalam memuat naik kenyataan di laman sosial dengan menegaskan dakwaan mengatakan dia tidak cergas untuk bermain adalah tidak benar.

Sakho – yang dihantar pulang daripada siri jelajah pra musim Liverpool di Amerika Syarikat kerana masalah disiplin – masih belum bermain untuk The Reds musim ini dan menolak peluang untuk berpindah secara pinjaman sebelum ini.

Pengurus Liverpool, Klopp awal bulan ini, berkata pemain pertahanan Perancis itu tidak perlu mendapatkan kepercayaannya tetapi Sakho perlu meningkatkan tahap kecergasannya selepas tidak bermain sejak April lalu susulan digantung kerana gagal dalam ujian dadah – kemudiannya dibatalkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selain bergelut dengan masalah kecederaan ketika aksi pra musim.

Bagaimanapun, Sakho menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia sudah melengkapkan proses pemulihan tahap kecergasannya.

“Saya terima situasi saya sekarang tetapi saya tidak boleh menerima pembohongan – penyokong berhak untuk tahu kebenarannya,” kata bekas tonggak pertahanan Paris Saint Germain itu.

“Kini, sudah tiga minggu sejak saya cergas sepenuhnya untuk bermain. Saya sudah menamatkan semua program bagi memulihkan kecergasan saya”.

Klopp ketika diminta mengulas mengenai komen Sakho selepas Liverpool meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga bagaimanapun berkata ia bukan masa yang tepat untuk dia mengeluarkan komen. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA