Klopp mahu bawa Hernandez ke Anfield

Klopp mahu bawa Hernandez ke Anfield

LIVERPOOL, 12 Feb – Liverpool dilaporkan terdesak untuk menewaskan Arsenal dalam perebutan mendapatkan khidmat penyerang Bayer Leverkusen, Javier Hernandez (gambar) pada musim depan.

Pemain antarabangsa Mexico itu kini berada dalam prestasi terbaik dengan meledak 22 gol daripada 26 penampilan dalam saingan Bundesliga musim ini selepas meninggalkan Manchester United pada Ogos lalu.

Kecemerlangan Hernandez, 27, menarik minat beberapa gergasi bola sepak Eropah termasuk Liverpool dan Arsenal dan difahamkan, The Reds kini mendahului The Gunners untuk menandatangani khidmat pemain yang dikenali dengan nama Chicharito itu.

Ia gara-gara pihak tertinggi Liverpool sudah hilang sabar dengan ketumpulan barisan serangan terutama Christian Benteke yang gagal mempamerkan aksi setanding dengan nilai perpindahannya, 32.5 juta pound.

Arsenal juga tetap berharap mampu menandatangani khidmat Hernandez bagi memberikan saingan kepada penyerang utama, Olivier Giroud.

Bayer Leverkusen v Borussia Moenchengladbach - German Bundesliga

Malah, Pengarah Leverkusen, Jochen A. Rotthaus turut mengakui bahawa Hernandez tidak akan kekal lama di Jerman jika dia kekal mempamerkan prestasi cemerlang seperti sekarang.

“Kami perlu memanfaatkan impak yang dihasilkan oleh Chicharito ketika ini tetapi pada masa sama, kami perlu bersedia akan kehilangan khidmatnya selepas ini.

“Jika dia tiada, kami perlu membawa masuk beberapa bintang yang mampu menghasilkan impak positif seperti dilakukannya,” katanya. – Agensi