Klopp perlu masa – Ray

Klopp perlu masa – Ray

LIVERPOOL, 22 Feb (Agensi) – Bekas penolong jurulatih Chelsea, Ray Wilkins menegaskan, penyokong-penyokong setia Liverpool perlu memberi masa kepada pengurus, Jurgen Klopp membuktikan kemampuannya.

Pasukan yang terkenal dengan jolokan The Reds itu mengharungi aksi yang cukup mengecewakan termasuk seri tanpa jaringan menentang Augsburg pada aksi pertama pusingan 32 pasukan saingan Liga Europa.

Bagaimanapun, Liverpool bertekad untuk mara ke pusingan seterusnya dan mereka perlu mencatat kemenangan pada aksi timbal balik kedua di Stadium Anfield awal pagi Jumaat ini.

Klopp yang juga bekas jurulatih Borussia Dortmund dibawa masuk bagi menggantikan Brendan Rodgers yang dipecat pihak pengurusan The Reds, namun masih belum menunjukkan sebarang impak yang boleh dibanggakan.

Pengendali kelahiran Jerman itu sekadar mencatat tujuh kemenangan daripada 18 perlawanan Liga Perdana England setakat ini, namun Wilkins tampil mempertahankan Klopp yang masih berada dalam tempoh menyesuaikan diri dalam Liga Perdana.

Klopp ketika menyaksikan perlawanan Liverpool menentang Augsburg yang lalu. Ray Wilkins menegaskan, penyokong-penyokong setia Liverpool perlu memberi masa kepada Klopp untuk membuktikan kemampuannya. – Reuters
Klopp ketika menyaksikan perlawanan Liverpool menentang Augsburg yang lalu. Ray Wilkins menegaskan, penyokong-penyokong setia Liverpool perlu memberi masa kepada Klopp untuk membuktikan kemampuannya. – Reuters

“Jangan nilai prestasinya pada musim ini. Anda perlu nilai kemampuannya pada musim depan, selepas dia membawa masuk pemain-pemain yang dimahukan. Ketika ini, dia masih mengendalikan skuad lama.

“Pasukan Liverpool yang ada pada ketika ini hanyalah sebuah skuad yang biasa sahaja. Tunggu selepas beliau mendapatkan pemain-pemainnya, barulah kita boleh menilai setakat mana kemampuannya,” kata Wilkins.

Terdahulu, pasukan dari Merseyside itu turut tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 1-2 kepada West Ham United pada pusingan keempat dan mereka kini dalam persediaan menghadapi aksi final Piala Capital One menentang Manchester City, 29 Februari ini.

ARTIKEL YANG SAMA