Klopp puas hati

Klopp puas hati

LIVERPOOL, 12 Mei (AFP) – Pengurus Liverpool Jurgen Klopp teruja dengan gol penyamaan lewat permainan pasukannya ketika terikat 1-1 dengan Chelsea di Anfield, namun meluahkan rasa tidak puas atas kekurangan sabar yang dipamerkan barisan pemainnya.

Gol sumbangan Eden Hazard untuk Chelsea pada pertemuan liga malam tadi menyaksikan Liverpool hampir mengalami kekalahan pertama di laman sendiri sejak tewas 1-0 kepada Manchester United pada 17 Januari lalu.

Bagaimanapun, tandukan emas Christian Benteke pada masa tambahan memastikan The Reds meraih satu mata berharga dan mengekalkan suasana hebat di kota merah itu.

Liverpool bakal berdepan Sevilla dalam pertarungan final Liga Europa Rabu depan dengan hasrat menjulang trofi dan tempat ke Liga Juara-Juara dan Klopp percaya keputusan ini akan meningkatkan keyakinan mereka menjelang detik istimewa itu.

Namun, Klopp mahu pasukannya untuk mempelajari cara untuk kekal tenang apabila perancangan tidak berjalan seperti diingini.

Klopp berjabat tangan dengan Hiddink sebelum pasukan mereka bertemu dalam aksi Liga Perdana di Anfield, kelmarin. – AP
Klopp berjabat tangan dengan Hiddink sebelum pasukan mereka bertemu dalam aksi Liga Perdana di Anfield, kelmarin. – AP

“Saya berkata kepada pemain selepas perlawanan ia adalah perlawanan paling penting musim ini kerana banyak yang boleh kita pelajari daripadanya,” kata pengendali dari Jerman itu, yang mana pasukannya kekal di tangga kelapan, 10 mata di depan Chelsea.

“Kami menunjukkan pada 15 minit pertama apa yang kami mampu lakukan. Kami sangat hebat – bermain bola sepak yang cantik, tanpa menjaringkan gol.

“Tetapi kami mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap diri sendiri, jadi kami hilang kesabaran dan ia bertambah sukar apabila hilang kesabaran dalam bola sepak.

“Tanpa kesabaran, kami hilang formasi. Kami melalui beberapa situasi yang mana kami sepatutnya membuat hantaran berbanding membuat percubaan.”

Klopp memuji Chelsea dan akur sekiranya keputusan itu bertukar sebaliknya, tetapi dia sempat memberi pandangan mengenai kemampuan pasukannya bertahan dengan baik pada babak kedua.

“Mereka boleh menjaringkan gol kedua, tetapi (penjaga gol) Simon Mignolet menjalankan tugas dengan cemerlang dan Kolo (Toure) serta Dejan (Lovren) mempunyai satu atau dua situasi yang mana mereka selamatkan pasukan.”