Klopp tidak mahu Balotelli

Klopp tidak mahu Balotelli

LIVERPOOL, 5 Jan (Agensi) – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, memberi bayangan mereka enggan mengikat semula bekas penyerang bermasalah, Mario Balotelli untuk saingan musim depan.

Penyerang berusia 25 tahun itu menyertai AC Milan semula secara pinjaman sehingga tamat musim ini, namun masih belum ada apa-apa perjanjian untuk perpindahan secara kekal.

Selepas musim yang mengecewakan di Liverpool dengan hanya satu jaringan gol, Balotelli diarahkan Brendan Rodgers untuk mencari kelab baharu.

Ejen pemain terbabit, Mino Raiola, memaklumkan dia bakal bertemu dengan Klopp untuk berbincang mengenai perancangan masa depan Liverpool sama ada mahu menggunakan khidmat penyerang itu atau tidak.

Namun, dalam sidang media, Klopp berkata buat masa ini, kelab terbabit tidak mempunyai perancangan untuk menggunakan khidmat bekas penyerang Manchester City itu walaupun mereka sedang mencari penyerang baharu untuk memperkuat skuad mereka.

“Buat masa ini, saya tidak mahu fikirkan apa akan berlaku pada musim panas depan.

“Mungkin ejen dia berkata sedemikian dan kita akan berbincang bersama ejennya terlebih dahulu, tetapi saya tidak mahu fikirkan mengenai itu sekarang. Saya hanya mahu fikirkan perubahan untuk skuad buat masa ini,” katanya.

Liverpool akan turun menentang Stoke City dalam aksi separuh akhir pertama Piala Liga jam 4 pagi ini, waktu Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA