Klopp tuntut keberanian Liverpool hadapi Villarreal

Klopp tuntut keberanian Liverpool hadapi Villarreal

LONDON, 28 April – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menuntut keberanian daripada pemainnya jika mahu mengatasi Villarreal untuk mara ke final Liga Europa dan mengekalkan harapan mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad The Reds menunjukkan kebangkitan penuh sensasi daripada ketinggalan 3-1 untuk menewaskan kelab lamanya, Borussia Dortmund 4-3 di Anfield untuk mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, pengendali dari Jerman itu memberi amaran untuk tidak memandang remeh terhadap lawan itu yang kurang mencipta sejarah di Eropah berbanding kelab gergasi Inggeris, tatkala Villarreal sedang menikmati musim yang hebat ketika ini.

Mereka berada di kedudukan keempat La Liga di belakang kuasa besar Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid. “Kami perlu bermain bola sepak yang berani,” kata Klopp kepada UEFA.com.

“Kami kini di peringkat separuh akhir. Kami layak kerana kami berhak berada di sana, dan kini kami perlu menunjukkan betapa kami cukup kuat untuk mengharunginya.

Jurgen Klopp (dua kanan) bercakap kepada para pemainnya semasa sesi latihan di Stadium Madrigal di Vilarreal, kelmarin. – AFP
Jurgen Klopp (dua kanan) bercakap kepada para pemainnya semasa sesi latihan di Stadium Madrigal di Vilarreal, kelmarin. – AFP

“Mereka mempunyai musim yang hebat, mereka adalah kelab yang hebat di sebuah bandar kecil. Jelas terdapat ramai individu yang bijak di sebalik kejayaan mereka.”

Skuad Klopp akan turun tanpa beberapa pemain penting ketika Liverpool berada dalam persembahan terbaik beberapa minggu kebelakangan ini.

Pertahanan Perancis, Mamadou Sakho tidak ke Sepanyol kerana sedang menunggu hasil siasatan UEFA selepas didakwa gagal ujian doping. Emre Can, Divock Origi dan kapten Jordan Henderson juga masih dalam senarai pemain cedera.

Sementara itu, jurulatih Villarreal, Marcelino berkata: “Mungkin Liverpool boleh dianggap pilihan kerana sejarah kelab mereka.

“Tetapi kami tidak menganggap pasukan ini berada dalam kedudukan lebih rendah berbanding mereka (Liverpool). Kami fikir boleh mengalahkan kelab legenda seperti Liverpool.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA