KM Sarawak terkenal di London

KM Sarawak terkenal di London

KUCHING, 27 Mac (Bernama) – Ada kalangan penduduk di London telah menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. Mereka menyatakan hasrat itu semasa lawatan rasmi beliau ke London, katanya dan menurutnya mereka kagum dengan pendekatan ketua menteri dalam mengendalikan isu-isu.

Nancy berkata Adenan telah membuat beberapa keputusan bagi meringankan beban rakyat seperti menghapuskan bayaran tol, menurunkan tambang feri dan menambah bantuan kebajikan untuk rakyat.

“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kita terkenal di luar negara,” katanya pada Program Jalinan Kasih Armanda Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya di Kampung Iboi, Sadong Jaya, malam tadi.

Nancy turut memuji Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo yang bijak mengurus tadbir pengundi di kawasan diwakilinya.

“Beliau telah memberi khidmat yang cemerlang dalam tempoh tidak sampai lima tahun menjadi wakil rakyat,” katanya, dan menyeru pengundi memberi sokongan padu kepada Aidel untuk mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri akan datang.