KM Sri Aman aset terbaru APMM Sarawak

KUCHING, 4 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak menambah satu lagi aset kapal perondanya hari ini dengan pengoperasian ‘Kapal Ronda Generasi Baharu’ (NGPC) yang dinamakan KM Sri Aman.

Majlis perasmian pengoperasiannya yang berlangsung di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) di Muara Tebas, kira-kira 25km dari sini disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata kapal peronda ini merupakan yang kedua daripada enam buah yang dibina untuk APMM oleh syarikat tempatan berpangkalan di Pelabuhan Klang, Selangor.

Kapal NGPC pertama KM Bagan Datuk, disiapkan sekitar Mac lepas, dan baki empat kapal ronda dijangka akan disiapkan secara berperingkat, dengan kapal keenam dijangka siap pada suku pertama 2019.

Zulkifli berkata pengoperasian kapal ini merupakan cerminan komitmen dan inisiatif kerajaan dalam memastikan kepentingan dan keselamatan laut Malaysia terpelihara, apabila aktiviti penguatkuasaan APMM sentiasa diperhebatkan.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meninjau keadaan Laut China Selatan dari dalam kapal KM Sri Aman milik APMM Wilayah Sarawak selepas merasmikan peroperasian kapal itu pagi kelmarin. – Bernama

“Cabaran utama yang perlu ditangani oleh APMM adalah ancaman seperti jenayah rentas sempadan, keganasan maritim, ‘illegal salvaging of wrecks’, dan pengeksploitasian sumber laut secara haram,” katanya.

Beliau berkata dengan tanggungjawab besar yang dipikul APMM sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim dan cabaran alaf baharu yang dihadapi, perolehan NGPC adalah bertepatan pada waktunya bagi membolehkan semua tugas pengawalan dan penguatkuasaan APMM dilaksanakan dengan lebih efektif di kawasan perairan Malaysia.

Menurutnya kapal NGPC akan memberikan pulangan modal kepada kerajaan secara umumnya dan kepada APMM secara khususnya, terutama dengan adanya program kolaborasi industri yang melibatkan pemindahan teknologi, pengetahuan dan latihan berkaitan dengan kapal NGPC oleh syarikat yang dilantik.

Sementara itu APMM Wilayah Sarawak berharap agar satu daripada tiga kapal ronda luar pesisir pantai (OPV) yang dibekalkan kepadaa APMM, akan ditempatkan di kawasan perairan Sarawak.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Ismaili Bujang Pit berkata kawasan perairan Sarawak yang luas, merangkumi 239,605km persegi atau 39 peratus daripada kawasan perairan Malaysia memerlukan aktiviti pengawasan sentiasa ditingkatkan bagi mencegah pencerobohan nelayan asing ke kawasan perairan Malaysia. – Bernama