KnowledgeCom rancang kembang ke ASEAN

KnowledgeCom rancang kembang ke ASEAN

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) – KnowledgeCom Corporation Sdn Bhd, penyedia latihan berkaitan penyelesaian dan teknologi komunikasi dan maklumat tempatan, bersiap sedia untuk mengambil peluang daripada penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN dengan mengembangkan operasinya di rantau ini.

“ASEAN memudahkan pergerakan warganya dalam perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan. Kami mahu mengambil peluang daripadanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, S.T. Rubaneswaran.

Filipina akan menjadi penerokaan pertama KnowledgeCom di luar Malaysia susulan potensi yang amat besar di sana.

“Januari tahun depan kami akan bermula di Filipina. Kami telahpun mempunyai rakan kongsi di sana dan kami juga sudah memperoleh lesen,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Dalam separuh kedua 2016, KnowledgeCom, yang baru-baru ini diiktiraf sebagai antara 100 PKS utama di Malaysia, juga merancang untuk meneroka ke Vietnam, katanya.

Antara kejayaan utama syarikat yang beribu pejabat di Petaling Jaya itu ialah memulakan e-pembelajaran SAP (Sistem, Aplikasi dan Produk) pertama di Malaysia.

Setakat ini syarikat telah melatih lebih 4,000 orang bagi Persijilan SAP dan ia menghasilkan kadar kelulusan paling tinggi di ASEAN.

KnowledgeCom dianugerahkan sebagai Rakan Kongsi Latihan SAP terbaik pada 2011 dan Rakan Kongsi Terbaik 2013.

Ia juga merupakan rakan kongsi teknologi dengan Oracle, ITIL, Android dan IPv6.