Ko julang gelaran ke-14 LPGA

Ko julang gelaran ke-14 LPGA

LOS ANGELES, 18 Julai – Bintang golf remaja New Zealand, Lydia Ko, memenangi gelaran ke-14 kariernya dalam Jelajah LPGA selepas menewaskan Ariya Jutanugarn dan Lee Mi-Rim dalam pusingan ‘playoff’ di Marathon Classic, semalam.

Perlawanan playoff terpaksa dilakukan sebanyak empat lubang, namun pemain nombor satu dunia berusia 19 tahun itu terus menampilkan prestasi baik untuk meraih kejuaraan keduanya di Classic dalam tempoh tiga tahun.

Pada pusingan terakhir di Kelab Golf Highland Meadows, Ohio, semalam, Ko melakukan dua bawah par 69 untuk keseluruhan 14 bawah par 270, memaksanya beraksi dalam playoff selepas Lee melakukan 65 dan Ariya melakukan 68.

Ko melakukan birdie dalam lubang keempat playoff ketika Ariya sekadar melakukan par dan Lee melakukan bogey untuk mencatat kemenangan.

Ketiga-tiga melakukan par pada tiga lubang awal, memaksa perlawanan diteruskan ke lubang ke-18 sehingga pemenang muncul.

Lydia Ko bergambar bersama trofi selepas memenangi kejohanan Marathon Classic LPGA di Kelab Golf Meadows Highland di Sylvania, Ohio, semalam. - AP
Lydia Ko bergambar bersama trofi selepas memenangi kejohanan Marathon Classic LPGA di Kelab Golf Meadows Highland di Sylvania, Ohio, semalam. – AP

“Saya fikir kami semua berada dalam keadaan sedikit letih dari sudut fizikal dan mental ketika kami semua berterusan bermain di lubang yang sama.

“Saya hanya cuba untuk kekal bertenang. Hanya melihat untuk melakukan birdie dan membiarkan emosi saya. Saya bukannya seorang yang gemarkan keraian yang besar, namun saya fikir ini adalah yang terbesar saya lakukan,” katanya.

Pemain Korea Selatan, Kim Hyo-Joo, yang melakukan 73 pada hari terakhir untuk menamatkan saingan 13 bawah par 271, menduduki tempat keempat.

Pemain Amerika Syarikat, Stacy Lewis, yang melakukan 71 menamatkan saingan di tempat kelima, manakala Recari Beatriz dan Alison Lee di tempat keenam selepas kedua-duanya menamatkan saingan dengan 274 pukulan. – AFP