Ko teruja bersaing di Olimpik Rio

Ko teruja bersaing di Olimpik Rio

WELLINGTON, 15 Julai – Pemain nombor satu dunia, Lydia Ko berkata dia terlalu teruja untuk beraksi dalam perlawanan golf di Sukan Olimpik daripada bimbang tentang virus Zika – dan kebanyakan wanita lainnya juga merasakan perkara yang sama.

Pemain golf lelaki telah menarik diri daripada temasya berikutan kebimbangan kesihatan mereka terhadap virus Zika yang menular di Rio de Janeiro, tetapi Ko, 19, berkata dia percaya kepada nasihat pakar kesihatan dan teruja dengan prospek menjadi seorang peserta olimpik untuk New Zealand.

“Saya lebih teruja dengan Sukan Olimpik, terlibat dalam sukan itu, menjadi sebahagian daripada vibe Olimpik daripada bimbang tentang virus Zika itu,” katanya kepada AFP.

“Terdapat ramai pakar yang menjaga semua … kami mempercayai mereka.”

Pemenang utama dua kali itu berkata pemain golf wanita yang lain juga merakan perasaan yang sama.

Reaksi Ko selepas melakukan pukulan birdie di lubang ke-17 pada pusingan pertama Marathon Classic di Sylvania. – AFP
Reaksi Ko selepas melakukan pukulan birdie di lubang ke-17 pada pusingan pertama Marathon Classic di Sylvania. – AFP

“daripada perbincangan dan perbualan saya dengan mereka, itulah respons mereka ,” kata Ko dalam temu bual pra-Olimpik itu.

“Kami semua teruja untuk pergi ke Brazil dan mewakili negara kita dan berada di sana dalam kalangan peserta olimpik lain.

“Malang sekali dengan apa yang berlaku dengan Zika, tetapi kita semua mempercayai orang yang menjaga kami,” katanya kepada AFP dalam satu temu pada Jun.

Ko memberikan ulasan yang sama menjelang Marathon Classic LPGA minggu ini di Ohio, berkata: “Jika ia amat berbahaya dan kita tidak boleh bersaing … saya pasti mereka akan menarik balik perlawanan itu.” – AFP