Kod Etika Aka...

Kod Etika Akauntan 1 Jan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi Negara Brunei Darussalam mengguna pakai Kod Etika bagi Akauntan-akauntan Profesional yang dikeluarkan oleh Lembaga Standard Etika Antarabangsa bagi Akauntan (IESBA), Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) sebagai kod etika kerja bagi akauntan-akauntan awam dan akauntan profesional di negara ini yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.

Jawatankuasa Pemantauan Akauntan Awam (PAOC), Kementerian Kewangan memaklumkan mengenai perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, bidang kerja akauntan-akauntan awam dan akauntan profesional amat memerlukan tahap etika yang tinggi dan pihak-pihak yang berkepentingan sangat bergantung pada jaminan-jaminan yang diberikan oleh akauntan-akauntan awam terhadap laporan-laporan kewangan yang disediakan oleh akauntan-akauntan professional.

Oleh yang demikian, objektif utama penggunaan Kod Etika bagi Akauntan-akauntan Profesional adalah untuk memastikan bahawa akauntan-akauntan awam dan profesional di negara ini terikat dengannya, di mana laporan-laporan kewangan yang disediakan adalah memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan syarikat-syarikat dan perniagaan di negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pengetahuan mengenai etika juga boleh membantu akauntan-akauntan awam dan profesional untuk mengatasi dilema yang berkaitan dengan etika, yang seterusnya membenarkan pilihan-pilihan betul diambil, yang bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada syarikat-syarikat dan perniagaan tetapi juga kepada orang ramai yang bergantung pada laporan-laporan yang disediakan oleh mereka.