Kolaborasi kukuhkan institusi swasta

Kolaborasi kukuhkan institusi swasta

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Menerusi jaringan kolaborasi dengan institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara, institusi pengajian tinggi swasta di negara ini dapat diperkukuhkan di peringkat antarabangsa.

Ia dapat memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan pelajar-pelajar di arena antarabangsa melalui perlaksanaan modul-modul yang tertentu selaras dengan kehendak negara, kata Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Berucap pada Majlis Tamat Pengajian Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, pagi tadi, beliau berkata, ia adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei pada Oktober 2015, di mana Baginda telah menyarankan agar institusi-institusi pengajian tinggi terus berganding bahu dan bekerjasama dengan industri, sektor perniagaan dan stakeholder kerajaan dalam mengembangkan ekosistem penyelidikan dan perkembangan.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, penglibatan stakeholders adalah sangat diperlukan bagi meningkatkan perkembangan dan kemajuan institusi pengajian tinggi swasta, terutama dalam menyediakan para graduan menjadi graduan yang ‘job-ready’.

“Para graduan sendiri setentunya memahami bahawa cabaran yang dihadapi pada masa ini tidak sama seperti yang dihadapi oleh ibu bapa graduan mahupun tenaga pengajar yang ada sekarang.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan.

“Ilmu yang diperolehi pada hari ini mungkin tidak akan relevan dalam dua ke tiga tahun akan datang. Memiliki sekeping kertas diploma atau ijazah tidak bermakna kita telah dapat menguasai sesuatu ilmu itu dan memadai setakat itu.”

Oleh itu, selain daripada menuntut ilmu, para graduan juga disarankan memiliki sifat-sifat ingin tahu, inovatif dan kreatif, harus mempunyai fikiran yang terbuka untuk menerima pandangan dan teguran, bersedia untuk berfikiran di luar kotak (outside the box), rasa tanggungjawab, berjiwa kemasyarakatan, bersikap pemedulian dan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.

Menyentuh mengenai LCB, Yang Berhormat Pehin berkata, sejak dibukakan secara rasmi 13 tahun yang lalu, ia telah berkembang dan dapat dilihat daripada penambahan kursus-kursus yang ditawarkan termasuk Pearson BTEC Computing Program yang baru bermula pada tahun 2015 dan program tahap lebih tinggi iaitu kursus-kursus ijazah (full-pledged degree courses) yang dianugerah oleh The University of Chester, United Kingdom.

Perkembangan juga dilihat daripada aspek penambahan infrastruktur LCB bagi menampung peningkatan pengambilan para pelajar setiap tahun.

Katanya, LCB yang telah bergiat 13 tahun, merupakan sebuah lagi institusi pengajian tinggi swasta yang terus menyokong keperluan negara dengan menawarkan program-program yang relevan dan menyediakan individu-individu yang ‘marketable’ dan memiliki daya keusahawanan.

LCB juga berupaya meningkatkan kualiti institusinya setaraf dengan insititusi serantau dan antarabangsa dan pada masa ini, LCB telah secara rasmi menjalinkan kolaborasi dengan University of Chester dengan menjalankan program ijazah dalam bidang BSc (Hons) Computer Science, BA (Hons) Accounting, BA (Hons) Business Management dan BA (Hons) Marketing dan LCB akan menghasilkan graduan ijazah bagi kumpulan pertama dalam bidang Business dan Computer Science pada tahun depan, tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

ARTIKEL YANG SAMA