Kolam renang Olimpik bertukar hijau

Kolam renang Olimpik bertukar hijau

pg21_160815_olympic logo

RIO DE JANEIRO, 14 Ogos – Kejadian air kolam berwarna hijau yang memalukan sehingga menyebabkan mata sebilangan atlet mengalami gatal-gatal dipercayai berpunca daripada kandungan hidrogen peroksida yang tinggi. Kontraktor menambah 80 liter hidrogen peroksida di dalam setiap kolam renang minggu lalu namun penganjur hanya mendapati air kolam bertukar hijau dan bukannya biru seperti kebiasaannya pada aksi akhir 10 meter platform wanita.

Menurut penganjur, penambahan hidrogen peroksida itu meneutralkan klorin, sekali gus menyebabkan pertumbuhan alga. “Ia adalah cara untuk membersihkan kolam renang, namun anda tidak seharusnya mencampurkan bahan itu dengan klorin,” kata pengarah pengurusan venue Olimpik Rio, Gustavo Nascimento.

“Perkara ini tidak dibincangkan dengan kami namun kegagalan kontraktor menjadi tanggungjawab kami,” katanya.

Kolam renang hijau menimbulkan masalah kepada pihak penganjur dan menjadi bahan lawak kepada jutaan penonton di venue pertandingan dan yang menyaksikannya dari kaca televisyen.

Sebahagian atlet polo air turut mengadu bahawa mata mereka gatal-gatal selepas beraksi dalam kolam renang di arena terbabit.

Bagi menyelesaikan masalah itu, mereka cuba menstabilkan reaksi kimia antara dua bahan itu dan menjadikan alga itu lebih mampat namun perlu mengambil masa 10 jam untuk mengeringkan air dan mengisi semula kolam renang yang akan digunakan untuk acara renang berirama esok. – Agensi